Pengguna Malaysia berhemah berbelanja
Kajian yang dinamakan Kajian Keutamaan Pembelian Pengguna - Beli-belah Barangan mewah mendapati 22 peratus responden dari Malaysia mengakui memiliki barangan mewah yang menunjukkan perbezaan ketara dengan responden dari Singapura (57 peratus), Jepun (50 peratus) dan India (47 peratus).
Manakala Indonesia, katanya, sebanyak lapan peratus responden di republik itu memiliki barangan mewah dan 23 peratus lagi responden di kalangan warga Filipina.
''Kajian tersebut telah dikendalikan dari Mac sehingga April lalu melibatkan 6,022 pengguna dari lapan pasaran dunia," kata MasterCard dalam kenyataannya di sini hari ini.
Pengumpulan data katanya, adalah menerusi kajian internet, peribadi, telefon dan temubual secara komputer dengan bantuan telefon.
Setiap soalan yang dikemukakan kepada responden turut diterjemah kepada bahasa ibunda negara masing-masing mengikut keperluan.
"Hasil kajian dan laporan itu bagaimanapun tidak mewakili prestasi kewangan MasterCard secara keseluruhannya,'' jelas kenyataan tersebut.
Tambah MasterCard, kajian yang diperoleh itu turut mendapati para pengguna di Malaysia tidak 'merindui' untuk memiliki barangan mewah.
Katanya, ia dibuktikan dengan statistik iaitu hanya 20 peratus daripada responden di Malaysia berminat untuk memiliki barangan mewah dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Dalam 20 peratus responden yang berminat membeli barangan mewah, 15 peratus daripadanya telah membuat perancangan untuk membeli barangan lebih murah iaitu di bawah AS$1,000 (RM3,100),'' kata MasterCard.
Tambah MasterCard, para pengguna di Malaysia turut didapati kurang berminat untuk memiliki barangan mewah berbanding negara-negara lain kerana rakyat Malaysia telah dikategorikan sebagai berhati-hati.
Kata kenyataan itu, statistik kajian menunjukkan sebanyak 59 peratus responden dari negara ini sanggup untuk membeli barangan mewah tempatan dan hanya sewaktu tempoh jualan murah.
"Secara keseluruhannya, kajian itu menunjukkan para pengguna Malaysia amat berjimat cermat dan pandai menguruskan kewangan mereka.
"Sebagai sebuah negara membangun yang menuju sebagai negara maju, semakin ramai rakyat Malaysia memastikan barangan yang dibeli mereka adalah berkualiti dan menepati kepuasan perkhidmatan yang dikehendaki,'' ujarnya.
Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Kanan Malaysia dan Brunei, MasterCard Worldwide, Jim Cheah berkata, pihaknya akan berterusan menjalin kerjasama dengan beberapa pemain industri bagi memberi nilai yang lebih kepada pengguna di negara ini.
- UTUSAN