Top Ad 728x90

, ,

Persoalan Agama: Kaedah kiraan zakat saham

SOALAN:

Saya adalah orang awam yang tidak tahu banyak tentang dunia saham. Namun, saya ada kenalan yang bermain saham di bursa saham dan saya sendiri ada juga menyimpan dalam saham amanah. Seingat saya, dahulu saya mengira zakat saham dengan melihat kepada nilai unit terendah. Maka, bolehkah diperjelaskan kaedah pengiraan zakat saham pada hari ini?

JAWAPAN:

Terlebih dahulu, suka saya nyatakan bahawa jawapan ini disediakan bagi khalayak pembaca awam yang tidak begitu arif tentang permainan saham.

Ini kerana, saya difahamkan di Bursa Saham terdapat beberapa produk yang terminologinya agak sukar difahami orang awam, seperti ekuiti, derivatif, offshore, pasaran Islam (Islamic market) dan sebagainya.

Oleh itu, bagi pembaca yang memang arif bab saham, maka anda boleh menyesuaikannya berdasarkan keadaan dan keperluan.

Umumnya ada tiga jenis saham yang dimiliki dan diceburi oleh kita pada hari ini.

Pertama, saham yang dilaburkan ke dalam Bursa Saham. Saham ini dijual beli sepanjang tahun. Kedua, saham yang disimpan hingga ke hujung tahun. Saham ini biasanya bersifat Saham Amanah dan penyimpan saham mendapat untung berdasarkan harga saham pada hujung tahun berkenaan.

Ketiga, saham yang dilaburkan ke dalam syarikat, yakni orang yang melaburkan saham atau pemodal itu dinamakan sebagai pemegang saham.

Mari kita selami satu demi satu. Pertamanya, bagi saham yang dimainkan di Bursa Saham, maka zakat dikenakan berdasarkan keuntungan yang diperolehi.

Maknanya, bila dijual dan dapat keuntungan, maka keuntungan itulah yang dizakatkan. Pokok saham (modal), hanya dikenakan zakat pada hujung tahun sahaja.

Maknanya di sini, saham yang dijual beli sepanjang tahun, pengiraannya adalah sama seperti zakat pendapatan.

Contoh: Puan Isma bermain saham di Bursa Saham Kuala Lumpur. Berikut adalah paparan untung rugi transaksi saham beliau bagi tahun 2010. Kita andaikan, Puan Isma sentiasa membeli saham (modal atau pokok) pada kadar tetap RM10/Unit dan jumlah unit dimiliki beliau adalah 10,000 unit.

Transaksinya berlaku beberapa kali dalam setahun. Selepas membeli saham, beliau menunggu hingga harga naik, dan ketika itu beliau menjualnya. Namun, ada juga keadaan tertentu, Puan Isma rugi kerana terpaksa menjual saham di bawah paras harga belian.

Hal ini boleh berlaku, demi mengelakkan kerugian yang lebih besar.

Berikut ini transaksi saham Puan Isma bagi tahun 2010 di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Oleh itu, bagi tahun 2010, jumlah keuntungan keseluruhan bagi saham Puan Isma adalah RM100,000. Oleh itu, zakat saham Puan Isma bagi tahun 2010 adalah, RM100,000 X 2.5 peratus sama dengan RM2,250. Manakala, pokok atau modal saham beliau sebanyak RM100,000 hanya akan dikenakan pada hujung haul, yakni RM100,000 X 2.5 peratus iaitu RM2,500.

Seandainya jualan pada 31 Dis. 2010 adalah rugi, misalnya seperti berikut:

* 31 Dis. 2010

* Jual RM9.50/Unit

* 10,000 X RM9.50 > RM95,000

* Baki selepas jualan> -RM5,000.

Maka, Puan Isma tidak dikenakan zakat ke atas baki jualan, namun dia masih dikenakan zakat ke atas pokok saham atau modal saham yang berjumlah RM9,500.

Ini kerana, modal RM9,500 itu hakikatnya sudah setahun dimiliki, yakni cukup haul dan ia wajib dizakatkan atas sandaran zakat wang yang melebihi haul.

Walau bagaimanapun, hanya saham yang dilaburkan ke dalam kaunter patuh syariah sahaja yang layak dizakatkan keuntungannya. Jika dilaburkan dalam kaunter haram atau syubhah, maka hanya pokok atau modal saham sahaja yang dikenakan zakat pada penghujung tahun berkenaan, yakni keuntungannya tidak dizakatkan.

Kedua, saham yang disimpan sepanjang haul/tahun, maka hendaklah diambil harga saham pada hujung haul (biasanya hujung tahun) berkenaan. Ia tidak melihat kepada harga unit terendah saham sebagaimana yang diamalkan sebelum ini.

Contoh: Jiwa membeli Saham Amanah pada 1 Januari 2010 dengan nilai RM5/Unit. Jumlah keseluruhan saham beliau adalah 10,000 unit > RM50,000. Pada hujung tahun 2010 (31 Dis. 2010), harga seunit ialah RM5.50/ Unit. Maka, zakat saham Jiwa ialah, 10,000 unit X RM5.50 > 55,000 X 2.5% > RM1,375.

Seandainya pada hujung tahun itu harga seunit saham adalah lebih rendah daripada harga belian, maka hendaklah dilihat sama ada masih berada di atas paras nisab atau tidak. Jika masih melebihi nisab, maka masih wajib dizakatkan.

Contohnya:

Harga belian 1 Jan 2010 > RM5/ Unit

Harga pada 31 Dis 2010 > RM4.50/ Unit

Jumlah saham > 10,000 unit

Maka, RM4.50 X 10,000 unit > RM45,000 dan hakikatnya pemilik saham rugi, kerana semasa belian dahulu nilainya RM50,000.

Namun, oleh kerana RM45,000 itu masih di atas paras nisab, maka wajiblah ia dikeluarkan zakat, iaitu RM45,000 X 2.5 % > RM1,125.

Ketiga, saham yang dilaburkan dalam syarikat, yakni sebagai pemegang saham. Maka, zakat di sini hendaklah dikeluarkan sebagai pemegang saham berdasarkan kaedah kiraan zakat perniagaan. Kesimpulannya, ketiga-tiga jenis saham ini mempunyai kaedah pengiraan yang tersendiri, sama ada disandarkan kepada kaedah keuntungan, harga hujung tahun dan zakat perniagaan. Wallahu a'lam.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90