Saranan ceburi sektor perkhidmatan, pembuatan

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur & Selangor (ACCCIM) menyarankan usahawan muda menceburi perniagaan dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan berbanding pertanian.

Presidennya, Tan Sri William Cheng berkata, potensi dalam sektor tersebut dilihat lebih tinggi berbanding pertanian yang memerlukan tanah dan kos yang tinggi.

Katanya, Malaysia sudah kekurangan tanah untuk pertanian, oleh itu usahawan muda perlu menerokai bidang lain dengan cara menjalin kerjasama di peringkat antarabangsa.

"Perniagaan secara individu sangat menyukarkan kerana persaingan yang kuat sehingga ramai usahawan muda gagal bertahan.

"ACCCIM dengan itu mencadangkan agar mereka (usahawan muda) menceburi sektor perkhidmatan dan pembuatan melalui kerjasama dengan China dan menerokai pasaran Asia Tenggara,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Usahawan Muda-Peluang Perniagaan Menerusi Pelan Transformasi Ekonomi, di sini hari ini.

Cheng berkata, berdasarkan keadaan sekarang usahawan tempatan dilihat tidak mampu menandingi keupayaan perniagaan China yang semakin berkembang khasnya dalam aspek teknologi dan saiz pasaran.

Menurutnya, perancangan masa depan perlu dibuat contohnya perkongsian secara bersama antara negara-negara Asia Tenggara dengan China dalam menghasilkan sesuatu produk khas untuk rantau ini.

"Contohnya dalam bidang automotif dan pembuatan kapal. Kita boleh membuat pembahagian tugas menghasilkan komponen untuk setiap negara dan menghasilkan produk sendiri tanpa campur tangan luar.

"Cara ini dilihat mampu mengurangkan kos, persaingan dan meningkatkan pasaran serta jenama produk tersebut," jelasnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url