Wakaf dan hibah
Barang yang diwakafkan ialah barang yang bermanafaat dan tidak cepat habis digunakan, baik harta yang tetap seperti tanah mahupun harta tidak tetap, seperti buku.
Hibah pula segi bahasa bererti pemberian atau hadiah, yakni pemberian harta untuk kepentingan perseorangan, institusi sosial, keagamaan atau ilmu pengetahuan.
Pemberi wakaf atau hibah tidak memperoleh apa-apa ganjaran. Dia melakukannya semata-mata kerana mengharapkan keredaan Allah SWT.
Harta yang dihibahkan adalah barang yang masih dapat digunakan dan bermanafaat kepada pemakainya, misalnya baju dan kelengkapan solat.
Suka memberi
Islam menganjurkan umatnya agar suka memberi kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: Tangan yang di atas (pemberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (yang menerima), dan dahulukan orang yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah adalah apa yang dikeluarkan daripada orang yang mempunyai kelebihan. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Hikmah
Memberikan wakaf atau hibah merupakan perbuatan terpuji dan suatu ibadat yang pahalanya tidak akan terputus.
Wakaf dan hibah sangat bermanfaat bagi kepentingan agama dan umat seperti untuk pembinaan kehidupan beragama, pendidikan dan peningkatan kesejahteraan.
Selain itu, wakaf dan hibah dalam ajaran Islam dimaksudkan untuk menjalin kerjasama sosial yang lebih baik dan untuk lebih mengakrabkan hubungan sesama manusia.
Perbezaan wakaf dan hibah
Ada tiga perbezaan antara wakaf dengan hibah. Pertama, barang wakaf bersifat tahan lama, tidak habis kerana digunakan, sementara barang hibah boleh habis digunakan.
Kedua, barang wakaf tidak boleh dipindahkan atau diwariskan, sementara barang hibah boleh dipindahkan.
Oleh sebab itu, orang atau institusi yang menerima wakaf tidak boleh menjual atau mewariskan barang wakaf.
Ketiga, dalam wakaf, yang diambil ialah manfaat daripada barang itu, bukan barang itu sendiri, sementara dalam hibah barang itu sendiri yang digunakan.
Dasar hukum
Ulama bersepakat bahawa hukum wakaf dan hibah adalah sunnah. Wakaf dan hibah sangat dianjurkan untuk membantu sesama manusia.
Yang mendorong ibadat wakaf dan hibah adalah firman Allah SAW dalam surah ali-Imran ayat 92 dan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Marilah antara kamu saling memberikan hibah, kerana yang demikian itu akan menjadikan kamu saling mengasihani. (riwayat Bukhari)
Perwakafan
Kini masalah perwakafan dikendalikan secara khusus. Beberapa negara, misalnya Arab Saudi dan Mesir, yang membentuk Kementerian Wakaf khusus mengelola masalah perwakafan.
Di Malaysia, kebanyakan negeri memberi kuasa kepada Majlis Agama Islam menguruskan semua harta wakaf sebagai pemegang amanah.
- UTUSAN