Zaliza jual rumah buka tadika Genius Aulad


KEPUTUSAN menubuhkan tadika Genius Kids Profile pada Disember 2000 yang selepas itu ditukar kepada Genius Aulad Learning Consultancy Sdn. Bhd. sebenarnya berlaku dengan pantas.

Pengasas dan Pengarah Eksekutifnya, Zaliza Alias, 39, memberitahu, kebetulan ketika itu dia berhadapan dengan masalah mencari sebuah tadika Islam yang mengutamakan bahasa Inggeris untuk anak-anaknya.

‘‘Dalam sibuk mencari dan hampa, maka akhirnya saya nekad dengan keputusan untuk membuka tadika sendiri,’’ katanya ketika ditemui di tadika Genius Aulad di Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Zaliza memberitahu, dia pula memang seorang yang mudah membuat keputusan.

‘‘Kalau hendak buat, buat saja dan saya memang tidak memikirkan langsung tentang risikonya,’’ katanya.

Cerita Zaliza, pada masa itu dia bukan sahaja sedang sarat mengandung anak ketiga, tetapi sanggup melakukan semua persiapan itu ketika dalam bulan Ramadan.

Dengan bermodalkan RM20,000 hasil menjual rumahnya, ia digunakan untuk menyewa kedai dua tingkat.

Tingkat atas untuk tadika manakala bahagian bawah pula untuk kediaman mereka sekeluarga.

Zaliza memberitahu dia sendiri yang melakukan kerja mengecat, membeli kerusi dan menghantar sendiri risalah dari rumah ke rumah.

‘‘Alhamdulillah, akhirnya saya mendapat 20 murid termasuk anak sendiri. Tadika pertama dibuka sejak Disember tahun 2000 di Jalan USJ 21/10, UEP Subang Jaya, masih ada sehingga kini dan dijadikan sebagai ibu pejabat,’’ katanya.

Zaliza memberitahu, semangat yang ada itu sebenarnya datang hasil daripada pengalamannya sebagai jurujual barang selepas tamat pengajian.

Cerita Zaliza, sekalipun baru bergelar graduan tetapi dia sanggup menjadi jurujual jam di mana tidak ada rasa malu untuk menemui pelanggan yang sedang makan di gerai atau pun di tepi jalan.

Paling menggembirakan, kata Zaliza, dia menjadi jurujual terawal yang akan membunyikan loceng di syarikat berkenaan sebagai tanda berjaya menjual habis kesemua jam.

Selain itu, dia juga ditugaskan untuk mencari pelanggan dengan membuat temu janji menerusi telefon bagi mempromosi peralatan pejabat.

‘‘Syarikat cuma mahukan empat temu janji dibuat tetapi saya lebih daripada itu,’’ katanya.

Beliau berkata, tanggungjawab ini bukan mudah kerana di situ letaknya cabaran untuknya bercakap dengan pelanggan sehingga mereka berminat untuk bertemu dengan pihak syarikat.

Zaliza akui pengalamannya di bidang pemasaran itu amat berguna sehingga dalam membantunya mengendalikan tadika berkenaan.

Jelasnya, sekalipun tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan tadika tetapi dia sentiasa minat untuk belajar serta berusaha memperbaikinya andai terdapat kelemahan.

Adat berniaga kata Zaliza pernah menghadapi masalah kekurangan murid yang mendaftar di mana jumlahnya tidak sampai 20 orang.

Namun dia tidak putus asa, sebaliknya mengambil tindakan yang mungkin tidak difikirkan oleh orang lain.

‘‘Saya memang suka mencabar diri sendiri di mana mengambil keputusan untuk membuka kelas pada sesi petang pula,’’ katanya.

Ternyata keputusan itu menyebelahinya kerana dengan tambahan sesi tersebut telah menyebabkan jumlah pendaftaran murid-murid di tadikanya meningkat.

Mengenai sistem francais Genius Aulad katanya, sehingga kini sudah terdapat 20 cawangan termasuk di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

‘‘Kini terdapat lebih 4,000 murid berusia dari tiga hingga enam tahun yang sedang belajar di tadika Genius Aulad,’’ katanya.

Selain itu, katanya, franchisor tadika kebanyakannya terdiri daripada mereka yang pernah berkhidmat sebagai guru di tadika berkenaan.

‘‘Saya tidak mahu mereka menjadi guru selama-lamanya atau bertukar-tukar tempat mengajar tetapi mahukan mereka memulakan perniagaan sendiri,’’ katanya.

Sehubungan itu, katanya, dengan sistem francais ini memberi peluang kepada guru yang berpengalaman di Genius Aulad supaya akhirnya mempunyai tadika mereka sendiri.

Zaliza memberitahu untuk menjaga hubungan baik dengan franchisor di bawahnya di mana biasanya antara mereka lebih bergerak sebagai satu pasukan.

‘‘Biasanya apa sahaja yang dirancangkan untuk kebaikan tadika ini akan dilakukan secara bersama-sama dan masing-masing diberikan peluang untuk terlibat,’’ katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url