KPT Tidak Cadang Wujudkan Peperiksaan Pilih Pelajar Ke IPTA
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung berkata kerajaan akan meneruskan dasar pengambilan pelajar mengikuti kriteria akademik seperti yang diamalkan sekarang.
Katanya, jumlah kemasukan pelajar lepasan Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM), matrikulasi dan asasi ke IPTA meningkat setiap tahun berbanding jumlah tempat yang ditawarkan.
"Bagi sesi akademik 2011/2012, seramai 53,216 pelajar lepasan STPM, matrikulasi dan asasi yang layak menyambung pengajian ke IPTA, berbanding hanya 41,267 tempat yang ditawarkan," katanya menjawab soalan M. Manogaran (DAP-Teluk Intan).
Manogaran ingin tahu sama ada peperiksaan umum akan diadakan bagi membolehkan pelajar dari semua kaum mendapat peluang sama rata untuk melanjutkan pelajaran di IPTA, berbanding dasar pengambilan sekarang yang bergantung kepada keputusan peperiksaan STPM atau matrikulasi.
Selain itu, Hou juga berkata kementerian akan mengambil tindakan ke atas mana-mana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang didapati menyalahi peraturan dan gagal melahirkan graduan berkualiti serta mempunyai sahsiah yang tinggi.
"Jika ada kesalahan, kita boleh kenakan kompaun. Sejak tiga tahun lepas kita memang ada terima aduan tetapi semakin berkurangan," katanya menjawab soalan Datuk Ismail Abdul Muttalib (BN-Maran).
- BERNAMA
Salam... sy Rozaimi.. SPM sy dpt 1A+ 4A 4B+ 1C+, sy dpt A dlm mp biologi.. layakkah sy pohon asasi sn hayat di UM/UKM/UiAM
Jika lyak bagaimana dr segi persaingan pelajar? ctnya : IPTA ttapkan 1000 pelajar, jika 1500 pelajar yg dpt straight A dlm SPM pohon adakah sy layak ke program tersebut?