Kuasa tenaga Reiki
Namun, dalam demonstrasi di hadapan penulis oleh Pengajar Master Reiki, Mohd Hisham Yahya, bukan mentol sebaliknya marmar tersebut bersepai menjadi beberapa bahagian. Bagaimana ini terjadi?
"Apabila fikiran kita yakin bahawa kaca mentol tadi sekeras batu, maka itulah yang akan berlaku. Ini hanya sebahagian daripada contoh penghayatan teknik Reiki," kata beliau.
Masih tidak berpuas hati, Master Mohd Hisham menunjukkan pula demonstrasi kedua. Menggunakan mentol yang sama beliau berkata: "Mentol ini lembut dan akan pecah."
Lalu sekali lagi mentol dijatuhkan di atas sekeping marmar dan benar seperti yang disebutnya, mentol tadi pecah sama sekali.
Seterusnya beliau meminta penulis melakukan perkara yang sama dan berniat mentol tadi sekeras batu. Sukar mempercayai, mentol yang penulis jatuhkan tidak pecah tetapi marmar yang terbelah tiga.
Menjelaskan lebih lanjut, Master Mohd. Hisham berkata, Reiki berasal daripada bahasa Jepun, iaitu rei bererti alam semesta dan ki pula adalah tenaga.
Kesimpulannya, kata beliau, Reiki adalah satu proses penyaluran tenaga dari alam semesta melalui pengamal Reiki kepada pesakit. Tentunya ia bertujuan meningkatkan kemampuan semula jadi tubuh untuk menyembuhkan diri sendiri dengan menyeimbangkan kembali tenaga pesakit tersebut.
Jelas beliau, teknik tersebut tidak berkait dengan acara keagamaan. Sebenarnya ia lebih kepada gaya bertafakur atau dalam bahasa yang mudah, merehatkan minda. Dengan menanam niat untuk berjaya, maka pemikiran sudah dipusatkan mencapai apa yang diimpikan dan kita akan berusaha mendapatkannya.
Bagaimanapun, Master Mohd. Hisham kurang mengaplikasikan kebolehannya untuk merawat pesakit sebaliknya lebih kepada usaha membina keyakinan diri dan juga pekerjaan seharian.
Meditasi
Bercerita lebih lanjut, kata Master Mohd. Hisham, teknik Reiki Usui asalnya ditemukan oleh Dr. Mikao Usui dari Jepun setelah beliau melakukan perjalanan spiritual yang cukup panjang dan bermeditasi di Gunung Kurama selama 21 hari. Pada hari-hari terakhir, beliau dianugerahi Satori (pencerahan spiritual) dan kemampuan untuk menyembuhkan diri sendiri dan orang lain.
Selepas itu, istilah Reiki digunakan secara meluas dalam masyarakat Jepun sebelum Mikao Usui pada era Meiji (1868-1912), Taisho (1912-1925) dan awal era Showa (1926-1988).
Jelas master Mohd. Hisham lagi, teknik Reiki boleh disamakan sebagai seni olah spiritual yang di dalamnya terdapat sebuah sistem penyembuhan yang sangat sederhana dengan penyaluran tenaga kehidupan atau tenaga alam semesta yang diterapkan dengan asas penyerahan diri (pasrah) pada kekuasaan Tuhan Yang Maha Esa.
Kata beliau, Reiki berkembang dan disebarkan melalui sistem penyelarasan atau attunement .
"Perumpamaannya seperti ketika anda membeli sebuah radio baru, ia tidak dapat digunakan sehinggalah anda menyelaraskan frekuensi atau gelombang stesen siaran yang dikehendaki. ''Kemudian barulah anda dapat menerima dan mendengar siaran radio tersebut," katanya.
Beliau kini mengendalikan teknik pengajaran Reiki kepada mereka yang berminat melalui syarikatnya Dimensi Alpha Resources dengan mengenakan kadar yang sangat berpatutan.
Maklumat lanjut boleh melayari www.Reiki-Malaysia.com