Parti di bawah Pakatan Rakyat guna logo masing-masing
PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP tetap menggunakan logo parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti dan tidak akan sesekali menggunakan lambang pakatan pembangkang sekiranya gabungan berkenaan didaftarkan.
Sebaliknya usaha untuk mendaftarkan gabungan berkenaan sebagai sebuah gabungan pakatan bertujuan memudah urusan kerja selain membolehkan parti pembang-kang menggantung bendera parti rakan komponen yang lain.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pembangkang tidak pernah berhasrat menukar lambang pada pilihan raya nanti sebaliknya PAS, PKR dan DAP akan menggunakan lambang masing-masing pada kertas undi.
“Kita daftar atas nama pakatan, namun, parti akan kekal dengan lambang masing-masing. Untuk kertas undi nanti PAS guna lambang PAS, PKR lambang PKR dan DAP dengan lambangnya.
“Tujuan parti mendaftarkan pakatan ini bagi memudahkan prosedur saja, yang mana setiap parti boleh memasang bendera parti lain. Misalnya PAS boleh memasang bendera PKR ataupun DAP,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
- BERITA HARIAN