Sifat Pemalu Rasulullah s.a.w

Hadith:

DARI Abu Said al-Khudri r.a katanya: "Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari gadis pingitan. Apabila baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya dari wajah baginda."

Riwayat Muslim

Huraian Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Laa ilaha illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman. (al- Baihaqi).

Di dalam perjalanan manusia sebagai hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, 'rasa malu' merupakan tangga yang pertama. Maka, masih sangat jauh sebenarnya kita daripada kewujudan rasa cinta kepada Allah.

Rasulullah sekalipun mempunyai rasa malu terhadap Allah SWT. Ia terserlah dalam kisah Mi'raj baginda iaitu di saat Rasulullah menerima perintah secara langsung agar umatnya mengerjakan solat.

Di peringkat awalnya, Allah memerintahkan solat sebanyak 50 kali dalam sehari. Baginda menyanggupinya, namun nabi dan Rasul lain yang ditemui dalam perjalanan mikraj tersebut menasihati bahawa tugas itu terlalu berat bagi umat Muhammad.

Lantas baginda meminta keringanan sehingga bilangan solat dikurangkan kepada lima kali sehari.

Saat itu, baginda diingatkan sekali lagi bahawa solat lima kali sehari pun masih terlampau berat.

Namun, baginda berasa amat malu untuk kembali meminta keringanan daripada Allah SWT. Inilah contoh sifat malu yang ada pada diri baginda. Malu untuk mengurangi nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya.

Namun kita selaku umatnya tidak pula mempunyai rasa malu mengabaikan perintah solat tersebut dan juga ibadah-ibadah yang lain? Begitulah manusia, lazimnya hanya merasa malu untuk urusan duniawi di hadapan manusia, bukan urusan keakhiratan di hadapan Tuhan.

Kita tidak merasa malu dengan dosa yang berbukit yang pernah kita lakukan. Malah mungkin tidak pernah terdetik rasa enggan kita untuk bertemu Allah lantaran merasa malu di atas segala kejahatan yang dilakukan yang tak pernah luput dari penglihatan Nya?

Sesungguhnya kita benar-benar tidak tahu malu. Abdullah Ibn Mas'ud r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Orang yang malu kepada Allah dengan sepenuh malu adalah orang yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya dari segala rezeki tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang melakukan semua itu, maka ia telah malu kepada Allah dengan sepenuh malu.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Next Post Previous Post
2 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Sabtu, 7 Januari 2012 pada 3:38:00 PTG SGT

    salam..izinkan ana share artikel ni..
    syukran :)

  • MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN)
    MOHD ADHA MOHD ZAIN (ADHA ZAIN) Sabtu, 7 Januari 2012 pada 6:57:00 PTG SGT

    W'salam. Silakan :)

Add Comment
comment url