Bayi sebesar tapak tangan
LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bayi antara terkecil di dunia dibenarkan keluar dari sebuah hospital yang menjadi tempat tinggalnya selama hampir lima bulan. Memakai topi merah jambu dan dibaluti selimut yang juga berwarna merah jambu, Melinda Star Guido menjadi tumpuan lensa kamera televisyen dan jurugambar akhbar di luar Pusat Rawatan USC di sini kelmarin.
"Saya gembira kerana anak saya sihat," kata ibunya yang berusia 22 tahun, Haydee Ibarra. "Saya juga gembira kerana akhirnya saya dapat membawanya pulang," tambah Ibarra. Melinda dilahirkan pada 30 Ogos tahun lalu dengan berat cuma 269 gram atau lebih ringan daripada setin air minuman berkarbonat. Bayi itu amat kecil sehinggakan dia muat dalam tapak tangan doktor yang merawatnya.
Melinda dipercayai bayi terselamat ketiga terkecil di dunia dan kedua terkecil di AS. Kini seberat 2.04 kilogram dan masih bernafas melalui tiub oksigen sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa doktor memberitahu bahawa Melinda cukup sihat untuk pulang selepas hampir lima bulan berada dalam inkubator hospital berkenaan. Ibunya melahirkan Melinda melalui pembedahan caesarean pada minggu ke-24 selepas dia didapati mengalami penyakit darah tinggi semasa hamil. - Agensi