Buku Masakan Gaya Hidup - khusus untuk penghidap diabetes
Oleh NURUL IZZA ROSLY
SELAMA ini pelbagai pantang dan larangan yang wajib dipatuhi oleh pesakit diabetes bagi mengawal paras gula dalam darah sehingga ia memberi kesan kepada selera makan mereka.
Bagaimanapun, usaha menambat selera makan pesakit diabetes jarang diberi perhatian.
Justeru, bagi menambat selera pesakit diabetes, syarikat farmaseutikal MSD dan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) melancarkan buku masakan gaya hidup pertama iaitu Raikan-Buku Masakan Gaya Hidup khususnya untuk pesakit diabetes jenis 2 di bawah kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes yang dilancarkan pada tahun 2007.
Raikan-Buku Masakan Gaya Hidup menawarkan 12 resipi yang lazat dan berkhasiat berdasarkan pelbagai perayaan di Malaysia dan di seluruh dunia dari bulan Januari hingga Disember.
Resipinya merangkumi hidangan savouri yang disajikan sempena Tahun Baru Cina, daging panggang istimewa yang dinikmati pada perayaan Krismas dan juadah utama. Tidak lupa juga pencuci mulut yang diubah suai oleh Chef Amy Beh dengan kandungan pemakanan yang diawasi oleh pakar pemakanan, Tan Sue Yee.
Makanan berkhasiat
Pengarah Urusan MSD, Ewe Kheng Huat menjelaskan bahawa Raikan - Buku Masakan Gaya Hidup ini bertujuan menghebahkan bahawa makanan berkhasiat yang rendah kandungan gula bukan sahaja sesuai untuk pesakit diabetes bahkan rasanya yang enak.
"Ramai orang menyangka makanan yang berkhasiat tidak sedap dimakan.
"Malah, dengan kreativiti dan pengetahuan, anda juga boleh mencipta resipi sendiri bagi hidangan yang berkhasiat lagi lazat seperti yang dilakukan oleh Chef Amy Beh dan Tan Sue Yee," katanya pada majlis pelancaran buku tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Setiausaha Agung PDM, Datuk Rahimah Datuk Ahmad juga bersependapat dengan Kheng Huat tentang usaha MSD dan PDM itu.
"Statistik telah menunjukkan bahawa bilangan pesakit diabetes di rantau ini dan di seluruh dunia agak membimbangkan.
"Perubahan gaya hidup moden yang mendadak, rakyat Malaysia perlu memahami bahawa diabetes adalah masalah kesihatan yang besar dan kita perlu mengawalnya sekarang sebelum terlambat," ujarnya.
Lebih daripada 220 juta orang menghidap diabetes di seluruh dunia, manakala 80 peratus daripada penghidap diabetes tinggal di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana tinggi.
Kebanyakan penghidap diabetes di negara yang berpendapatan rendah dan sederhana tinggi dalam lingkungan separuh umur iaitu 45 hingga 64 tahun dan bukannya warga emas iaitu 65 tahun ke atas.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2030, Malaysia bakal mempunyai 2.48 juta penghidap diabetes.
"Menyedari hal ini, Kempen Hidup Sihat Dengan Diabetes dilancarkan pada tahun 2007 untuk menggalakkan pendidikan dan pengurusan penyakit diabetes.
"Dalam tempoh dua tahun lalu, pelbagai aktiviti awam telah dijalankan untuk menghebahkan Hidup Sihat Dengan Diabetes," ujarnya sambil memberitahu tumpuan pada tahun ini lebih kepada aspek pemakanan dalam pengurusan diabetes.
Cara memasak
Dalam pada itu, Chef Amy Beh menyediakan hidangan menggunakan resipi buku tersebut.
Antara resipinya ialah kari sayur dan salad sayur segar yang kemudiannya dijamu kepada rakan-rakan media.
Pada demonstrasi masakan itu, Chef Amy Beh menjelaskan, cara memasak yang pelbagai juga penting supaya hidangan tersebut kekal berkhasiat baik pesakit diabetes mahupun mereka yang sihat.
"Rakyat Malaysia amat menggemari makanan bergoreng. Sungguhpun makanan bergoreng boleh dimakan sekali-sekala, namun mentega dan minyak yang digunakan untuk menggoreng itu tidak berkhasiat.
"Mengukus atau memanggang ikan akan mengekalkan perisa dan aroma semula jadi ikan. Sebenarnya inilah cara memasak yang lebih sihat," jelasnya.
Pada majlis tersebut, para hadirin juga berpeluang mendengar ceramah kesihatan oleh pakar pemakanan, Tan Sue Yee.
Sue Yee bekerjasama dengan Chef Amy Beh dalam menyesuaikan resipi masakan Malaysia dan antarabangsa yang popular untuk menghasilkan sesuatu yang lebih sihat.
"Diabetes Jenis 2 ialah jenis diabetes yang paling lazim dihidapi dan WHO menganggarkan, menjelang tahun 2020, Malaysia bakal mempunyai 2.48 juta penghidap diabetes.
Menurut Kheng Huat, pihaknya berbangga kerana 1,000 naskhah buku masakan gaya hidup ini akan disediakan secara percuma di beberapa pusat diabetes dan hospital seluruh negara.
"Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan senaskhah buku ini dari pusat-pusat kesihatan terdekat.
"Senarai lengkap pusat yang turut serta boleh didapati di laman web rasmi Persatuan Diabetes Malaysia iaitu www.diabetes.org.my," katanya.
Pelancaran buku masakan gaya hidup ini juga disokong oleh mYoga, Juiceworks, Original Bootcamp, The Salad Bar, VISTA Eye Specialist, My Roti Shop, Zazen Health Solutions, BOH Plantations, Yeo's Malaysia, Jacobs dan Naturel Oil.
- KOSMO!