Islam tak halang rai Tahun Baru Cina
BELIAU masih ingat ketika itu dadanya berdebar kencang. Sambutan Tahun Baru Cina hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Tetapi beliau seolah-olah tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada untuk menyambutnya atau tidak.
Andai beliau seorang penganut Buddha sudah sewajibnya beliau pulang ke kampung di Bandar Maharani, Muar, Johor untuk menyambut Tahun Baru Cina (TBC).
Tetapi masalahnya kini, beliau baharu memeluk Islam, perlukah beliau pulang menyambut perayaan itu?
Lebih-lebih lagi mengenangkan keluarga terutama ibu bapanya masih menyimpan perasaan marah dan tidak puas hati atas tindakannya memeluk Islam itu tanpa pengetahuan mereka, iaitu pada Ogos dua tahun lalu.
Begitulah dilema yang dihadapi oleh anak muda ini, Yeo Wee Kiat, 25, pada tahun pertama atau buat pertama kali hendak menyambut TBC selepas memeluk Islam pada tahun 2011.
“Ibu bapa mana terutama bapa saya yang dapat menerima anak lelaki sulung mereka secara tiba-tiba memeluk Islam. Teruk juga menerima penangan daripada bapa saya.
“Tidak sahaja beliau ‘berceramah’ marah dan kemuncaknya saya dihalau keluar rumah, seolah-olah saya bukan anaknya lagi.
“Mujurlah ibu berjaya memujuk bapa dan meminta supaya saya jangan dibuang dalam hidup mereka,” katanya.
Memeluk Islam tanpa desakan atau pengaruh sesiapa melainkan atas kesedaran dan minat terhadap agama tersebut, Wee Kiat sedar risiko apabila beliau selama-lamanya meninggalkan Buddha, agama yang dipertahankan oleh keluarga dan nenek moyang.
Wee Kiat berkata, dengan keyakinan tinggi terhadap Allah maka segala risiko yang bakal terjadi terutamanya kemarahan ibu bapa akan dihadapi dengan penuh kesabaran.
“Sebabnya, semua itu saya anggap sebagai satu ujian sejauh mana keimanan dan keikhlasan saya memeluk Islam.
“Lantaran apabila bapa menuduh saya sengaja untuk menukar identiti sebagai bangsa Cina semata-mata kononnya untuk ‘masuk’ Melayu dengan memeluk Islam, lalu saya buktikan bahawa saya tetap Cina dengan mengekalkan nama Yeo Wee Kiat,” jelasnya.
Beliau tidak mengubah nama atau menambahkan sebarang nama Melayu atau Islam lain sebagai identiti baru selepas berstatus Muslim.
“Sebagaimana tokoh Cina Muslim yang menjadi idola saya iaitu Ann Wan Seng yang tetap dengan nama asalnya.
“Dengan nama Cina itu bermakna kami tetap berketurunan Cina, namun tetap kental Muslimnya, insya-Allah,” katanya.
Seperkara yang Wee Kiat perlu buktikan terutama kepada ibu bapanya bahawa Islam bukan penghalangnya menyambut tahun baru.
“Cuma saya bimbang mengenai penerimaan keluarga dan kemungkinan saya dihalang menyambutnya. Walhal Islam sendiri tidak melarang selagi saya menjaga batas-batasnya,” jelas beliau.
Lalu Wee Kiat memberanikan diri pulang ke kampung untuk menyambut TBC tahun lalu.
Alhamdulillah, sambutan di luar dugaan. Beliau disambut baik oleh seluruh keluarga terutama ibu bapanya dan seolah-olah mereka menantikan kepulangannya untuk sama-sama menyambut tahun baru.
Lalu saat yang ditunggu-tunggu iaitu acara makan besar pada malam TBC tetap berlangsung dengan meriah walaupun Wee Kiat sendiri tidak dapat menjamah masakan ibunya.
“Saya tidak mahu menyusahkan ibu saya semata-mata menyediakan juadah yang halal. Lalu saya mendapat idea, kenapa tidak saya membeli ayam KFC lalu kami makan bersama-sama seluruh keluarga. Saya dapat makan dan saya rasa seronok kerana dapat belanja keluarga pada hari yang cukup yang bermakna itu,” katanya yang baru tamat pengajian di Universiti Selangor (Unisel).
Sementara menunggu pekerjaan tetap, Wee Kiat kini bertugas sebagai fasilitator program Madrasatul Hayah untuk lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia di bawah anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia.
Disebabkan bertugas di situ, rakan-rakan memanggilnya Ikram Yeo.
Wee Kiat sebenarnya tidak dapat melupakan saat manis pada TBC yang lalu kerana bapanya masih sudi menghulurkan angpau kepadanya.
“Saya benar-benar terharu atas pemberian bapa yang sangat bermakna itu kerana masing-masing kini sudah dapat menerima perbezaan agama antara kami. Berbeza agama bukan penghalang untuk satu hubungan baik kami anak beranak.
“Saya amat bersyukur kepada Allah yang memakbulkan doa saya agar tetap diterima oleh keluarga terutama ibu dan bapa kerana selamanya saya tetap memerlukan mereka dalam hidup saya,” katanya.
Untuk sambutan tahun baru yang akan menjelang beberapa hari sahaja lagi, kali ini Wee Kiat akan pulang ke kampung menemui keluarga dengan lebih yakin dan penuh kegembiraan.
Bagi yang sudah lama memeluk Islam, seperti Timbalan Pengerusi Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Selangor, Effenddy Teoh Gin Hoe, TBC sememangnya disambut meriah hampir setiap tahun.
Lebih-lebih lagi beliau adalah anak lelaki sulung dalam keluarga empat beradik. Ibunya yang kini berusia 83 tahun tinggal bersamanya.
Maka menjadi satu tanggungjawab kepadanya menjadi tuan rumah mengumpulkan adik-beradik dan anak-anak saudara terutama bagi acara makan besar, acara minum teh dan pemberian angpau setiap kali tibanya tahun baru.
Boleh dibayangkan kemeriahan beliau sekeluarga menyambut perayaan itu yang tentunya juga sebagai penghormatan dan kasih sayang kepada ibu yang melahir dan membesarkannya sehingga berjaya.
“Walaupun kami berbeza agama dan saya masih berusaha agar ibu mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.
Walaupun dahulunya si ibulah yang paling keras membantah Effenddy memeluk Islam sedangkan si ayah tidak berkata apa-apa.
“Ibu bagai terkena histeria apabila tahu saya memeluk Islam. Tetapi itu adalah normal bagi setiap ibu apabila tanpa diduga si anak menukarkan agama.
“Bagi ibu, apabila saya memeluk Islam bermakna saya akan masuk Melayu dan segala-galanya saya akan mengikut cara hidup orang Melayu. Maka ibu bimbang, beliau akan kehilangan anak Cinanya ini,” jelasnya.
- UTUSAN