Rasulullah ketua keluarga mithali

Oleh Tuan Asmawi Tuan Umar

Pembinaan sebuah keluarga yang dilimpahi kebahagiaan bukanlah menjadi satu fatamorgana atau ilusi yang tidak mampu dicapai seandainya semua umat Islam mempunyai iltizam yang tinggi untuk menggapainya.

Bak kata pepatah Melayu, "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Begitu juga pepatah bagi masyarakat Barat yang menyatakan when there is a will, there is a way.

Setiap manusia lelaki dan wanita diciptakan oleh Allah sememangnya memerlukan pasangan bagi saling melengkapi antara sama lain seperti Allah menciptakan Saidatina Hawa untuk menjadi teman dan pasangan kepada Abul Basyar Saidina Adam a.s.

Penciptaan insan yang bergelar lelaki dan wanita ini sudah menjadi fitrah dan tabie yang termaktub dalam setiap firman Allah menerusi al-Quran yang bermukjizat itu.

Bak kata sesetengah orang "perkahwinan dan pernikahan menurut kebiasaannya hanya dilihat dan dirasakan kemanisan dan kenikmatannya hanya sebulan atau paling lama tiga bulan sahaja".

Andainya benar kenyataan ini, apakah pernikahan tersebut hanya menjadi satu perkara sia-sia. Malah ia akan menjadi beban besar yang terpikul ke atas kedua-dua pihak - suami dan isteri.

Apabila ditanya mengapa situasi seperti ini boleh terjadi, maka kita akan dapati kesimpulannya hanya kerana "melihat orang lain berkahwin, maka saya pun berkahwin".

Justeru, keikhlasan dan ketulusan memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri kerana Allah itu sudah hilang. Sebabnya, sesetengah pasangan menganggap sebagai satu halangan yang besar dalam erti seorang lelaki dan wanita yang masih belum dan tidak merasa puas dengan kebebasan yang diperlukan dalam diri masing-masing.

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam barangkali ada kebenaran di sebalik kata-kata bahawa mengahwini orang yang dicintai suatu keharusan dan mencintai orang yang dinikahi adalah suatu kewajipan.

Bersempena kedatangan tarikh ulang tahun keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal 1433 Hijri bersamaan 5 Februari 2012 Masihi yang menjadi qudwah (contoh) dalam pelbagai aspek.

Maka umat Islam bukan sahaja memperingati baginda sebagai insan suci yang membawa obor Islam di atas muka bumi akan tetapi ia perlu dilihat - jika dalam aspek rumahtangga, maka kita sewajarnya mendalami bagaimana untuk kita mencontohi teladan Rasulullah SAW dalam menyantuni para isteri (Ummahaat Al-Mukminin) serta kaum keluarganya.

Barangkali ada yang berkata bahawa terlalu jauh impian kita untuk menyamai taraf dan kedudukan serta segala teladan yang baginda lakukan. Namun, sebagai umat baginda perlu sentiasa menanam impian dan hasrat melakukan yang terbaik untuk keluarga.

Pelbagai contoh yang mungkin menjadi sumber inspirasi kepada kita semua seperti baginda pernah bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya ; dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi". (riwayat Abu 'Asakir)

Di dalam hadis yang lain juga ada baginda SAW berpesan: "Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya". (riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Sekiranya kita mempunyai darjat dan kedudukan yang tinggi di mata masyarakat, maka tidaklah menjadi hina dan tercela darjat berkenaan dengan sebab kita menyantuni keluarga.

Bahkan dalam konteks ini, baginda SAW seorang yang Allah telah angkat dan iktirafnya sebagai kekasih-Nya tetap tidak melupakan tugas dan tanggungjawab baginda sebagai manusia biasa.

Maka, situasi ini agak kontradik dengan apa yang nabi SAW paparkan iaitu sesetengah suami yang percaya bahawa dengan ketegasan dan kemarahan sahaja 'jawapan' dalam mendidik seseorang isteri.

Baginda lemah-lembut dengan isteri

Sifat lemah lembut baginda SAW jelas terpapar dalam satu situasi pernah baginda pulang pada waktu pagi yang kebetulannya baginda teramat lapar pada ketika itu akan tetapi apabila dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk menjadi makanan sarapan. Lalu nabi bertanya: "Adakah masih belum ada sarapan wahai Humaira?" (Humaira adalah panggilan mesra untuk Saidatina Aisyah yang bererti pipi yang kemerah-merahan).

Maka Saidatina Aisyah menjawab dengan agak serba salah: "Belum ada apa-apa wahai Rasulullah". Rasulullah SAW lantas berkata: "Jika begitu saya puasa saja hari ini" tanpa sedikit tergambar rasa sekelumit kemarahan dan kekesalan pada raut wajah baginda.

Oleh yang demikian, dewasa ini, dengan situasi yang sama walau pun sekilas dipandang kecil tetapi ia boleh menjadi isu dan perkara besar sehingga boleh membawa kepada pergaduhan dan perbalahan.

Apa yang jelas bahawa jika bertindak dengan terburu-buru tanpa usul periksa maka pastinya akan berkesudahan dengan keputusan yang menjadikan syaitan dan iblis bergembira kerana telah berjaya mengkucar-kacirkan sebuah rumahtangga Muslim.

Menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ketua dalam sesebuah keluarga bukan sahaja memerlukan ilmu pengetahuan agama yang cukup malah kesabaran menjadi paksi yang teras dalam melayari bahtera kehidupan.

Ini kerana andainya tersalah dalam membuat sebarang keputusan seperti contoh dalam sesebuah rumahtangga maka banyak pihak yang akan menanggung permasalahan seperti anak-anak, pembahagian harta benda dan sebagainya.

Betapa tulus dan bersih hati seorang insan berdarjat mulia yang tidak keberatan untuk menjahit serta menampalnya sendiri jika ada pakaian baginda yang terkoyak tanpa menyuruh isterinya.

Malah lebih daripada itu baginda juga seperti insan yang lain tidak segan silu memerah susu kambing sama ada untuk kegunaan keluarga atau pun untuk dijual.

Masya-Allah, di manakah kita sekarang? Hanya dengan kerana darjat dan kedudukan, tugas-tugas seperti tadi barangkali tidak menjadi kegemaran kita.

Bersama kita sematkan dalam diri dan keazaman kita bahawa seandainya seorang nabi dan rasul yang mulia itu sanggup menyantuni keluarganya dengan baik. Beratkah kita untuk menjejaki langkah dan teladan Baginda.

Semoga iltizam dan cita-cita kita untuk menjadi seorang ketua keluarga yang mengambil semangat dan model paparan Nabi Muhammad SAW menjadi realiti.

* Jika ada kemusykilan agama, sila ke Facebook dan Twitter Ustaz Tuan Asmawi Tuan Umar, Pegawai Perhubungan Awam Jawi merangkap Pengasas & Penasihat Imam Muda & Ustazah Pilihan di www.facebook.com/tuanasmawi dan www.twitter.com/tuanasmawi

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url