Mubarak dipenjara seumur hidup
KAHERAH 2 Jun - Mahkamah Mesir, hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas bekas Presiden Hosni Mubarak, selepas dia didapati bersalah terlibat dengan pembunuhan penunjuk perasaan semasa kebangkitan rakyat di negara ini, yang membawa kepada penggulingannya pada tahun lalu.
Bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly turut dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan sama, manakala enam lagi bekas komander polis dibebaskan.
Tuduhan rasuah ke atas anak-anak Mubarak, Alaa dan Gamal, bagaimanapun digugurkan ekoran status tamat tempoh.
Tuduhan rasuah terhadap bekas Presiden itu turut digugurkan.
Sementara itu, kekecohan berlaku sejurus selepas keputusan mahkamah itu dibacakan dengan orang ramai berteriak 'Tidak sah' tidak sah' dan 'Kami mahu badan kehakiman disingkirkan'.
Peguam turut berang dengan keputusan mahkamah membebaskan Alaa dan Gamal dan memberitahu AFP mereka bimbang Mubarak dan Adly mungkin didapati tidak bersalah jika rayuan dibuat.
Bekas Presiden itu yang dilihat memakai kaca mata hitam tidak menunjukkan sebarang emosi ketika Hakim Ahmed Refaat membacakan hukuman itu.
Alaa dan Gamal yang dilihat letih dengan lingkaran hitam di bawah mata mereka pula, hampir-hampir menitiskan air mata selepas mengetahui mereka dibebaskan.
Pertempuran turut tercetus di luar mahkamah dan polis menggunakan bom yang mengeluarkan bunyi kuat untuk mengawal keadaan.
Mubarak dan bekas Menteri Dalam Negeri, Adly dan enam lagi bekas komander polis dibicarakan berhubung penglibatan mereka dengan pembunuhan kira-kira 850 penduduk ketika kebangkitan rakyat di Mesir pada tahun lalu.
- AFP