Bilangan Penghidap Hepatitis Meningkat

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Jumaat menasihati rakyat Malaysia, khususnya yang lahir sebelum 1989, agar menjalani saringan penyakit hepatitis.

Ini kerana kata beliau, bilangan kes baru terutama Hepatitis B dan C meningkat sekali ganda tahun lepas berbanding 2010, iaitu dari 640 kepada 1,250 bagi Hepatitis B dan 724 kepada 1,047 untuk Hepatitis C.

Sehubungan itu orang ramai harus mengambil kesempatan menjalani saringan percuma yang ditawar 20 hospital di seluruh negara sempena kempen Hari Hepatitis Dunia 2012 ini.

"Ramai yang fikir hepatitis sudah tidak wujud tetapi hakikatnya ramai yang tidak mengambil vaksin. Dianggarkan terdapat antara tiga hingga enam penghidap bagi kedua-dua jenis penyakit itu bagi setiap 100,000 penduduk dan 80 peratus ialah mereka yang berusia antara 25 dan 55 tahun," katanya.

Liow berkata walaupun Malaysia diisytihar Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mencapai matlamat dalam mengawal Hepatitis B menerusi program vaksin untuk kanak-kanak yang dilancar pada 1989, mereka yang lahir sebelum tahun itu mungkin menyumbang kepada peningkatan kes sekarang.

Beliau juga bimbang penyakit itu yang lebih mudah dijangkiti berbanding HIV dan dikenal pasti antara penyumbang kepada 1.4 juta penghidap barah hati di negara ini akan menjadi satu epidemik jika tiada tindakan diambil.

"Penyakit maut ini berada di luar radar pengawasan kita buat sekian lama dan diabaikan sekalipun notifikasi jangkitan hepatitis adalah mandatori mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit," katanya.

Kempen yang bermula Jumaat hingga Ahad di pusat beli-belah One Utama itu bertema "Its Closer Than You Think' dan antara lain menumpukan usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap penyakit tersebut.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url