Episod baru tiga banduan


“ASSALAMUALAIKUM, Tuan. Saya Sapuan Hanin,” ujar seorang lelaki yang separuh abad usianya. Dia juga memperkenalkan dirinya mengikut kod seorang banduan.

“Kes apa yang dilakukan oleh kamu semasa kamu masuk (ke penjara),” soal Pengarah Penjara Mat Rasid Jahlih kepada lelaki bertubuh kecil yang kudung tangan kirinya dan beruban itu. Lelaki yang berkaca mata itu mengenakan baju dan seluar berwarna biru laut menjawab dengan nada perlahan: “Kes ganja, Tuan.”

“Kalau ikut waran pertama, awak dihukum di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu gantung sampai mati, tapi pada hari ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar memberi pengampunan penuh dan perintah pembebasan kepada awak,” beritahu Mat Rasid kepada Sapuan pada upacara khas pembebasan tiga banduan di Penjara Kluang baru-baru ini.

Sapuan, 58, dengan tangan terketar-ketar kemudian menurunkan lebih lapan cap jari pada sebuah buku usang yang bersaiz A2.

Sepanjang 26 tahun menjadi penghuni penjara, lelaki yang berasal dari Benut, Johor itu mempunyai gaji RM18. Namun, pegawai penjara memaklumkan Sapuan sudah membelanjakan kesemua gajinya.

“Terima kasih Tuan, terima kasih tidak terhingga, Tuan banyak menolong saya, terima kasih Tuan,” katanya sambil memberi tabik hormat kepada Mat Rasid.

Tekanan pada jiwa menyebabkan dia terlupa umurnya kini. Lelaki yang sudah menginjak usia itu sudah terlalu terpisah dengan dunia luar. Ada tembok besar yang menghalangnya, kata lelaki bujang itu.

Berputus asa

Pada 18 Julai lalu, satu sejarah tercipta apabila Sultan Ibrahim Ismail berkenan memberi pengampunan penuh dan perintah pembebasan kepada lapan orang banduan pada hari pertama umat Islam berpuasa.

Lapan banduan dibebaskan pada 1 Ramadan lalu. Seorang daripadanya ialah Sapuan. Dia merupakan banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Tujuh banduan lain yang dibebaskan berumur antara 41 hingga 63 tahun termasuk dua warga Indonesia dan seorang warga Singapura.

Mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dirujuk di bawah kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Tiga banduan dari Penjara Kluang dibebaskan iaitu Sapuan, Shamsudin@Botak@Bachik Baharin, 55, dan Mohd. Ali Nordin, 63.

“Jiwa saya betul-betul terseksa. Saya pernah berputus asa untuk hidup setelah rayuan ketiga ditolak sehingga saya nekad untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga penjara,” beritahunya yang tidak menyangka berpeluang melihat matahari, bulan dan bintang selepas lebih dua dekad terkurung di dalam penjara.

Anak kelima daripada enam beradik itu bagaikan melepaskan lara yang terbuku.

“Saya memegang kad Bintang Merah iaitu kategori individu yang akan digantung sampai mati. Bilik saya terasing dengan banduan-banduan yang lain dan dekat dengan bilik gantung.

“Saya takut menjalani hukuman digantung kerana ada pihak menceritakan keadaan bahawa selepas digantung ada yang leher hampir putus dan lidah terjelir sampai saya tak lalu makan dan minum.

“Pembebasan ini bagaikan mati hidup semula dan saya rasakan saya seperti bayi baru dilahirkan apabila melangkah keluar dari pintu penjara ini,” cerita Sapuan yang menerima kunjungan kakak kedua dan anak saudaranya yang sudah terpisah lama.

Keajaiban Allah

Sapuan dipenjarakan sejak tahun 1987 atas kesalahan mengedar 6.71 kilogram kanabis di sebuah surau di Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian.

Dia yang mesra dengan panggilan Pak Wan di Penjara Kluang menghela nafasnya. Ujar lelaki yang sedang mencongak masa depannya berkata: “Hidup ini penuh keajaiban dan Allah itu Maha Besar.”

Sapuan percaya, apabila bahagia mula menyapa dirinya, dia mampu meneruskan kehidupan yang lebih sempurna. Buat sementara waktu, Sapuan menumpang kasih di rumah anak saudara dan cucu saudaranya. Berbekalkan kemahiran yang diperoleh daripada penjara, Sapuan bercadang untuk mengusahakan perusahaan perabot.

“Saya harap masyarakat memberi ruang kepada adik saya memulakan kehidupan baru,” kata kakak kedua Sapuan yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah, 60-an.

Selain Sapuan, Shamsudin@Botak seorang warga Singapura turut dibebaskan. Dia ialah banduan yang paling lama meringkuk dalam penjara iaitu selama 37 tahun.

Shamsudin dipenjarakan sejak umurnya 19 tahun. Dia pernah menghuni Penjara Ayer Molek, Johor Bahru, Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang dan Penjara Taiping. Kata Shamsudin dengan wajah penuh keinsafan, disebabkan terlalu lama dalam penjara sejak zaman remaja, sedikit pun tidak terlintas dalam fikiran bahawa dia akan dibebaskan.

Kisah hidup lelaki yang berkepala botak itu sangat panjang.

“Selepas berhenti sekolah, saya terlibat dengan kongsi gelap, apabila dipanggil untuk Perkhidmatan Negara Singapura, saya telah berhijrah ke Johor Bahru, Johor. Di situ saya berkenalan dengan rakan dan terlibat dengan jenayah senjata api.

“Namun, saya berjaya meloloskan diri sebanyak dua kali sehinggalah saya menyamar diri sebagai nelayan dan akhirnya ditangkap polis ketika sedang minta makanan daripada penduduk kampung,” katanya yang menjadi buruan polis Johor dan Singapura sekitar tahun 1970-an.

Shamsudin dihukum penjara seumur hidup pada umur 22 tahun dengan 12 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Johor kerana menembak dua anggota polis iaitu Abdul Ghani Abu Bakar dan Koperal Daiman Muhammad Shah.

Ketika ditemui, lelaki yang sudah kehilangan beberapa batang gigi, rabun tetapi masih mempunyai tubuh badan yang sihat sempat menitip warkah perjalanan hidupnya. Kisah kehidupannya dicatatkan di atas tiga helai kertas. Dia juga memegang sebuah buku yang penuh dengan catatan menggunakan pen dakwat biru.

Shamsudin yang fasih berbahasa Inggeris membenarkan penulis membacanya.

Antara yang dititipkannya dalam warkah tersebut ialah: “Semasa saya di Penjara Sungai Buloh, kenangan paling indah bagi diri saya ialah dapat memotong dan menjahit baju Melayu, kebaya dan blazer untuk kontingen Malaysia ke Sukan SEA Brunei, itulah pencapaian saya yang paling tinggi dalam bidang jahitan, walaupun saya bukan warganegara Malaysia tetapi saya mampu menyumbang kemahiran yang saya pelajari di penjara ini.”

Ke mana Shamsudin selepas ini? Dia merancang untuk membuka kedai jahit di negara kelahirannya.

Walaupun tiada siapa yang menyambut Shamsudin pada hari dia dibebaskan, lelaki ini memberitahu, ada ahli keluarganya yang datang melawat dan memberitahu perkembangan Singapura kepadanya.

Tidak seperti Sapuan dan Shamsudin, perasaan seorang lagi bekas banduan, Mohd. Ali Nordin, 63, bercampur-baur. Dia berasal dari Lombok, Indonesia.

“Perasaan saya gembira bercampur sedih. Saya mahu mencari semula dua anak saya yang saya tinggalkan ketika mereka masih di tadika dan darjah satu.

“Wajah anak-anak saya sentiasa di dalam fikiran selama 22 tahun saya di penjarakan. Kini mereka dah besar dan yang pasti mereka tidak mengenali saya tapi saya tetap mahu mencari mereka,” katanya yang kerap mengalirkan air mata pada hari pembebasannya.

Berpegang pada al-Quran

Lebih menyentuh perasaan, tiada siapapun yang tahu dia sudah dibebaskan kecuali pihak kedutaan. Dia juga tidak tahu mahu tinggal di mana.

Lelaki bertubuh kurus ini juga sudah tiada ikatan perkahwinan dengan isterinya. Mohd. Ali yang berhijrah ke Malaysia pada zaman muda menjadikan al-Quran sebagai panduan hidupnya sejak hidup di penjara.

“Jangan jadi seperti saya, kerana wang, saya terperangkap dan habiskan sisa usia saya di sini,” katanya yang dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat dengan enam sebatan atas kesalahan rompakan dan menunjukkan senjata api.

Dia didakwa di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Seperti Sapuan, Mohd. Ali juga mempunyai skil kemahiran membuat perabot.

“Saya sudah memohon untuk menjadi penduduk tetap dan insya-Allah mahu membuka perniagaan perabot,” katanya yang masih mencatur kehidupan baharu.

Mohd. Ali, Sapuan atau Shamsudin, mahu ucapkan selamat tinggal selama-lamanya kepada penjara. Ketiga-tiga lelaki yang pernah hidup bersulam dosa itu enggan mengenang peristiwa hitam yang terpahat dalam ingatan.

Satu harapan mereka, agar masyarakat menerima mereka seadanya. Seperti kata Mohd. Ali: “Syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada kami untuk melihat dunia semula dan dapat berpuasa serta menyambut Aidilfitri seperti orang lain.”

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Admin
    Admin Sabtu, 28 Julai 2012 pada 7:07:00 PG SGT

    alhamdulillah,
    semoga kehidupan mendatang lebih indah dengan
    sinar keinsafan~

Add Comment
comment url