Istilah masakan Ramadan paling popular di Google

New York: Semarak Ramadan tidak hanya berlaku di negara majoriti penduduk Islam lain, malah masyarakat dunia turut merayakan bulan suci itu dengan menyajikan makanan khas ketika berbuka dan bersahur. Aliran itu dilihat hasil carian dalam enjin carian tidak asing lagi, Google.

Menurut akhbar New York Daily News, kata kunci ‘masakan Ramadan’ menjadi istilah yang paling banyak dicari pada awal umat Islam berpuasa.
Rupa-rupanya masyarakat dunia mencari resipi untuk berbuka dan bersahur menggunakan enjin carian Google.

Laman web resipi yang berpusat di Amerika Syarikat atau Eropah juga tidak ketinggalan memaparkan resipi Ramadan yang biasanya menjadi makanan tradisional di negara Timur Tengah.

Laman web makanan popular Epicurious.com, sebagai contoh memaparkan resipi dari negara Parsi dan Arab.

Epicurious.com mencari resipi dari buku resipi masakan Timur Tengah seperti New Persian Cooking yang disusun Jila Dana-Haeri dan Shahrzad Ghorashian.

Sebagai permulaan untuk juadah berbuka puasa, laman web itu mempromosi aash-esholleh ghalamkar atau sayur berasaskan kekacang. Kemudian beralih ke makanan berat, ia mencadangkan sayur bendi dan daging kambing disajikan bersama adas polo.

Hidangan pencuci mulut diambil dari buku A World of Cake tulisan Krystina Castella. Ia mengumpulkan hidangan pencuci mulut yang sering disajikan dalam perayaan tertentu. Kali ini, ada jalebi dan qatayef dari Iran.

Di Food.com, Ramadan dimasukkan ke dalam daftar Holidays bersama hari besar lainnya.

Laman web itu lengkap menampilkan daftar resipi untuk berbuka puasa, bermula dengan ‘paling popular’, ‘terbaru’, ‘sihat’, ‘cepat dan mudah’ sehingga ‘dicadangkan’.

Oleh kerana resipinya dikirimkan pembaca, ada dua masakan Indonesia dipaparkan dalam bahagian resipi terbaru iaitu ayam masak kicap dan rendang.

Sebagai laman web terbesar dengan kiriman pembaca, Allrecipes.com menawarkan resipi pelbagai untuk bersahur, berbuka hinggalah sajian ketika Aidilfitri.

Menu berbuka puasa dikelaskan menjadi roti, sup, dan stew, daging dan ikan, serta makanan manis. Di sini juga ada resipi lauk dan pencuci mulut untuk Lebaran, satu daripadanya ialah pisang goreng. - Agensi

INFO: Carian Resepi Ramadan

- Epicurious.com papar resipi dari negara Parsi dan Arab
- Hidangan pencuci mulut diambil dari buku A World of Cake tulisan Krystina Castella
Di Food.com, Ramadan dimasukkan ke dalam daftar Holidays Allrecipes.com tawar resipi pelbagai untuk bersahur, berbuka dan Aidilfitri
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url