Kaki Judi Mendaftar Untuk Rawatan Pemulihan Meningkat

Bilangan kaki judi yang mendaftar untuk mendapatkan khidmat kaunseling selepas perlawanan bola sepak Euro 2012 baru-baru ini menunjukkan peningkatan mendadak.

Kira-kira 60 kaki judi berusia di antara 25 hingga 40 tahun dan keluarga mereka berkunjung ke Pusat Pemulihan Kaki Judi untuk mendapatkan bantuan pada Isnin.

Jumlah itu hampir dua kali ganda bilangan kaki judi yang kebiasaannya mendaftar masuk untuk pemulihan.

"Secara purata, pusat itu menerima 30 hingga 40 kaki judi untuk satu sesi pemulihan," kata Presiden pusat tersebut, David Chiang, Khamis.

Seramai 60 kaki judi itu mendaftar pada Isnin ketika pusat tersebut mengadakan kursus pemulihan di cawangannya di Kuala Lumpur, Seremban dan Kluang.

Sejumlah RM900,000 hutang ditanggung oleh kaki judi yang melakukan pertaruhan pada perlawanan Euro 2012 yang berakhir 1 Julai lalu.

"Kebiasaannya kaki judi akan dibebani pelbagai masalah selepas acara sukan utama kerana mereka akan kehilangan wang dalam pertaruhan," kata Chiang.

Katanya, lebih ramai kaki judi mendapatkan bantuan kerana masyarakat pada hari ini sanggup mengakui mereka menghadapi masalah.

Semasa Sukan Olimpik di London, perjudian dalam temasya itu kurang mendapat sambutan berbanding pertaruhan bola sepak.

Pusat tersebut menawarkan program pemulihan selama tiga bulan di mana kaki judi boleh tinggal di cawangannya di Seremban dan Kluang untuk menghilangkan ketagihan mereka.

Ia turut menyediakan kursus secara percuma pada hujung minggu sepanjang tempoh tiga bulan untuk memulihkan kaki judi.

Sesiapa yang ingin mendapatkan rawatan di pusat tersebut boleh hubungi talian hotline 017-2381900.

Ketua Biro Khidmat Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, orang ramai berjudi kerana mereka didorong oleh keghairahan untuk menang.

"Jika mereka tewas sekali atau dua kali, mereka yakin akan menang dan memperoleh semula wang mereka," katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) sedang memantau situasi ini.

"Kami masih belum menemui sebarang bukti membabitkan perjudian pada Sukan Olimpik," katanya.

- MSTAR
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Unknown
    Unknown Sabtu, 4 Ogos 2012 pada 1:54:00 PTG SGT

    bagus..
    hadirnya kesedaran.

Add Comment
comment url