Saluran 24 Jam Olimpik London di Astro
SUKAN Olimpik adalah sukan terbesar dunia paling dinantikan komuniti serta peminat sukan pelbagai latar dan keturunan di serata dunia.
Temasya empat tahun itu kini boleh dinikmati dengan paparan visual lebih menarik apabila pelanggan Astro B.yond definisi tinggi (HD) berpeluang menyaksikan liputan Sukan Olimpik London 2012 dalam bentuk 3D.
Liputan program terbabit mula disiarkan mulai 28 Julai hingga 13 Ogos menerusi saluran Olimpik 24 Jam iaitu ESPN 3D dan saluran Astro 838.
Naib Presiden Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay berkata, siaran 3D buat pelanggan Astro Sukan Olimpik London 2012 itu adalah kali pertama kali disiarkan di Malaysia.
“Dengan penyertaan sebanyak 204 negara dari serata dunia, temasya sukan berprestij diadakan empat tahun sekali itu turut menampilkan atlet-atlet negara bersaing dalam pelbagai acara.
“Pelanggan (penonton) boleh mengikuti perkembangan semasa atlet negara memburu pingat seperti jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, Azizul Hasni Awang (lumba basikal trek), Bryan Nickson (terjun papan anjal) dan ramai lagi dengan paparan imej lebih hidup dan menarik.
“Bukan itu saja, kami turut berbangga menawarkan Pas TV Istimewa kepada pelanggan Astro untuk acara gemilang ini.
“Menerusi Pas TV Istimewa, pelanggan mempunyai pilihan untuk menyaksikan acara gemilang dengan bayaran sekali RM50 tanpa perlu melanggan pakej sukan Astro.
Dengan pas ini, penonton boleh mendapat akses secara komprehensif ke acara berkenaan,” katanya dalam satu sidang media Sukan Olimpik 2012 London 3D dan Special TV Pass di City Golf, Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur, Isnin lalu.
Kata Lee lagi, pelanggan Astro B.yond melanggan pakej Sukan Astro akan menikmati lebih 200 jam liputan 3D termasuk siaran langsung dan laporan terkini sepanjang minggu Olimpik.
“Kami akan menyiarkan siaran langsung upacara perasmian pada 28 Julai (Sabtu, jam 4 pagi waktu Malaysia) dan penutup Olimpik pada 13 Ogos, Isnin, jam 4 pagi waktu Malaysia).
“Bukan itu saja, pelanggan yang tidak dapat menyaksikan siaran Olimpik terbabit boleh merakam acara sukan ini menerusi Personal Video Recorder (PVR) disebabkan perbezaan waktu di London dan Malaysia.
“Lebih menarik, pelanggan juga akan disajikan dengan liputan dan perkembangan terbaru daripada beberapa wakil media Astro Arena membuat liputan harian dari London,” katanya.
Naib Presiden Ketua Jualan ESPN Star Sports Asia Tenggara, Adam Zecha berkata, beliau berbesar hati bekerjasama dengan Astro membawa liputan terbesar di Malaysia untuk siaran Sukan Olimpik 2012 London. Rakyat Malaysia boleh mengharapkan siaran paling komprehensif untuk acara gemilang ini. Ini termasuk liputan 3D di saluran ESPN 3D untuk kali pertama serta liputan meluas dalam HD dan definisi standard.
“Kami komited membawa pengalaman terbaik untuk rakyat Malaysia menyaksikan acara sukan Olimpik di London,” katanya.
Penganjuran Sukan Olimpik London 2012 menyaksikan London mengatasi empat bandaraya utama lain bersaing untuk mendapatkan hak selaku tuan rumah selain Moscow, Madrid, Paris dan New York.
London mengatasi pesaing terdekat, Paris selepas empat pusingan undian dengan kelebihan empat undi, 54-50.
Selepas kejayaan dua penganjuran Sukan Olimpik pada 1908 dan 1948, London muncul bandaraya pertama menganjurkan sukan Olimpik moden sebanyak tiga kali.
Lebih 10,500 atlet bertanding dalam 302 disiplin membabitkan 26 acara sukan.
Pas Khas Olimpik London di ASTRO boleh dilanggan di saluran 200