Murid naik bas sekolah dilindungi RM100,000
Syed Hamid berkata, skim itu dikenali sebagai perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian dengan had sebanyak RM100,000 seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 September lepas di Parlimen.
Katanya, SPAD telah membuka tender kepada syarikat insurans yang berminat untuk menghantar kertas cadangan yang disertakan dengan sebut harga untuk perlindungan skim insurans itu.
"Kita akan memilih syarikat insurans yang mengemukakan kertas cadangan yang terbaik serta sebut harga yang munasabah bagi tujuan itu sebelum dilantik sebagai penyedia skim insurans.
"Kita sasarkan apabila sekolah dibuka tahun depan, semua pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan diinsuranskan sebagai perlindungan sekiranya berlaku kemalangan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat antara SPAD serta Pengusaha Bas Bentong dan Temerloh.
- KOSMO!