Maybank dan Warner Bros keluar kad debit 'Superman'

Malayan Banking Bhd (Maybank) menjalinkan kerjasama dengan Warner Bros untuk mengeluarkan kad debit yang memaparkan imej watak superhero ‘Superman’ dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju kad debit di negara ini.

Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Perbankan Komunitinya, Lim Hong Tat berkata, menerusi usaha sama itu, kad Maybankard Visa Superman Debit akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad khusus untuk peminat hero komik itu.

Katanya, kad debit itu akan mula berada di pasaran pada suku pertama tahun ini dan ia dikeluarkan bertujuan untuk menggalakkan pelanggan menggunakannya sebagai satu daripada kaedah pembayaran termasuk berbelanja untuk keperluan harian.

Pembayaran secara kad debit akan turut mendapat ganjaran Treatspoint, iaitu program mata ganjaran untuk pelanggan setia Maybank," Lim Hong Tat, Timbalan Presiden dan Ketua Perkhidmatan Perbankan Komuniti Maybank

Tawar diskaun produk Warner Bros

“Kad debit itu turut menawarkan manfaat istimewa dan diskaun bagi produk di bawah jenama Warner Bros,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Lim menjangkakan kad Maybankard Visa Superman Debit sebagai satu lagi peluang untuk mengukuhkan kedudukan utama Maybank dalam segmen kad debit ini.

“Sebagai perbandingan, nilai pengebilan menerusi kad debit Maybankard berkembang lebih RM1 bilion atau meningkat 30 peratus tahun lalu berbanding 2011.

“Dengan kad debit Visa Superman Debit dan promosi yang akan dianjurkan tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan menerusi kad debit Maybankard akan berkembang sekurang-kurangnya 33 peratus tahun ini,” katanya.

Lim berkata, penguasaan pasaran Maybank dalam nilai pengebilan adalah 53 peratus dan kad debit/ATM digunakan oleh lebih 8.5 juta pelanggan serta bilangan penggunanya sentiasa meningkat.

Tambahnya, satu kelebihan kad Debit Maybank adalah penerimaannya di berjuta-juta pusat belian di seluruh dunia dan fungsinya juga hampir sama dengan kad kredit ketika membuat pembayaran.

“Ia juga boleh digunakan untuk bayaran bagi pembelian dalam talian yang menjadi ciri utama untuk menarik generasi muda menggunakan kad debit Superman.

“Selain itu, pembayaran secara kad debit akan turut mendapat ganjaran Treatspoint, iaitu program mata ganjaran untuk pelanggan setia Maybank,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url