Ekonomi dunia tunjuk tanda-tanda pemulihan
Kajian terbaharu itu menunjukkan petunjuk persekitaran ekonomi meningkat kepada 94.1 bagi suku pertama 2013 berbanding 82.4 pada akhir tahun lalu.
Pusat penyelidikan itu berkata, data perniagaan positif dari China dan Amerika Syarikat berjaya memberi sinar baharu kepada pertumbuhan ekonomi dunia.
Selain itu, jaminan Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi pada tahun lalu yang menyatakan: "Kita akan lakukan apa sahaja untuk mempertahankan zon Eropah daripada kemusnahan."
Setiausaha Agung ICC, Jean-Guy Carrier yang gembira dengan hasil kaji selidik tersebut bagaimanapun tetap berhati-hati. "Sementara petunjuk terhadap ekonomi adalah positif yang sekali gus mampu merangsang keyakinan, pendekatan segar daripada kerajaan dan perniagaan sangat diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi," katanya.
Menurut kaji selidik tersebut, penambahbaikan persekitaran ekonomi paling ketara berlaku di Asia di mana petunjuk ekonomi ICC-Ifo meningkat mengatasi purata sejak sekian lama.
Sejak akhir 2012, pakar-pakar ekonomi semakin optimis terhadap pertumbuhan di Asia dan harapan juga semakin meningkat. Dalam pada itu, zon Eropah turut menunjukkan petanda positif.
"Pernilaian terhadap tinjauan masa hadapan ekonomi Eropah untuk tempoh enam bulan akan datang menyaksikan mereka kini berada di dalam keadaan terbaik sejak dua tahun lalu sekali gus memberi harapan kepada pemulihan zon tersebut," katanya.
Secara keseluruhan, kaji selidik tersebut menunjukkan persekitaran ekonomi di kawasan Eropah Barat adalah lembap namun berpotensi untuk dipulihkan.
Responden yang menyertai kaji selidik tersebut melihat Greece, Itali, Portugal, Sepanyol dan Cyprus sebagai 'sedang sakit', hanya ketinggalan sedikit di belakang jiran-jirannya.
Hanya Jerman dan Estonia memiliki pernilaian positif.
Sumber : UTUSAN