Lemah bahasa Inggeris faktor utama gagal dapat kerja sesuai
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab Rahim Md Noor, berkata faktor itu diakui dan sering kali dibangkit kalangan industri pekerjaan di negara ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kebolehpasaran Graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bersama Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Kota universiti itu di Kota Bharu.
Turut hadir, Naib Canselor UMK merangkap Setiausaha Majlis Profesor Malaysia Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose.
Ab Rahim berkata, program itu adalah kolaborasi antara kementerian dan universiti di seluruh negara yang bertujuan memperkasa kebolehpasaran siswazah.
"Pelajar kita ini, dari segi periksaan mereka bagus, tetapi dari segi penguasaan dan komunikasi mereka lemah. Mereka boleh menjawab soalan, tetapi bercakap, temu duga, ceramah tidak sampai tahap yang memuaskan. Kita harap kita akan memperkasa penguasaan bahasa Inggeris ini," katanya.
Ab Rahim, berkata langkah yang dikenal pasti bagi mengatasi masalah penguasaan bahasa Inggeris di kalangan siswazah adalah dengan mengadakan program berfokus dan lestari secara berterusan.
"Maknanya, apabila masuk sahaja universiti, program memperkasa penguasaan bahasa ini akan ada, selain menunjukkan persekitaran yang membolehkan mereka ini mengunakan bahasa ini," katanya.
- BERNAMA