Portal Konsultasi Isu Rumah tangga Dilancar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata portal itu boleh dilayari di efamilyexpert.com.
"Ia memberi peluang kepada mereka yang malu atau mempunyai masa yang terbatas untuk berjumpa dengan pakar atau pihak-pihak berkenaan bagi mendapatkan nasihat mengenai isu-isu terbabit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan portal itu di Institut Latihan Islam Malaysia di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai portal itu, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin berkata, selain menempatkan maklumat dan tip mengenai isu berkaitan rumah tangga, ia juga memuatkan ruangan untuk para pelayar bertanya sebarang soalan kepada pakar.
Pada masa ini pakarnya termasuk dari Sukarelawan Peguam serta Persatuan Peguam Muslim dengan perancangan untuk memasukkan ahli psikiatri, psikologi dan kaunselor di masa depan, katanya.
Zaleha berkata, projek portal itu dilaksanakan bersama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam yang akan dikembangkan ke 200 universiti di bawah pertubuhan itu.
- BERNAMA