Bahaya ancaman asap rokok kelas ketiga
Timbalan Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr. Mymoon Alias berkata, lebih 7,000 bahan kimia beracun yang melekat pada perkakasan sekitar premis berkenaan mengundang risiko penyakit berbahaya terutama kanser kepada mereka yang menghidunya.
Menurut beliau, berbeza dengan risiko perokok pasif yang hanya melibatkan sekurang-kurangnya dua individu, asap kelas ketiga tersebut mempunyai skop penghidu lebih luas sehingga mampu menjangkau puluhan penghidu.
Tambah beliau, perkara itu lazimnya berlaku di dalam kereta, bilik hotel, restoran dan lapangan terbang yang mana pihak bertanggungjawab gagal menukar langsir, kain atau permaidani selepas aktiviti merokok.
"Golongan yang tidak merokok selepas itu akan berada di premis berkenaan tanpa mengetahui mereka sebenarnya sedang menghidu asap kelas ketiga dan berisiko menghidap kanser," katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.
Yang turut hadir, Pengarah Kanan Unit Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan, Dr. Sukhvinder Singh dan Bendahari MCTC, Muhammad Shaani Abdullah.
Sementara itu, Mymoon menjelaskan, tabiat penggunaan rokok elektronik yang menjadi 'trend' golongan muda hari ini tidak digalakkan kerana mengundang risiko kesihatan.
Katanya, sehingga kini, tiada jaminan keselamatan terhadap alat itu dan perokok dinasihat mengelak menggunakannya seperti yang disaran oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sebelum ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, MCTC akan menganjurkan Persidangan Kawalan Tembakau Malaysia Kelima 2013 bertema "Haramkan Pengiklanan Promosi dan Tajaan Tembakau" di Menara Kuala Lumpur pada 19 dan 20 Jun ini.
"Dalam persidangan itu, kita akan membincangkan isu berkaitan kempen kesihatan antirokok terutama The Blue Ribbon yang akan dijalankan di pusat-pusat beli-belah dan hotel-hotel," katanya.
- UTUSAN