Lepasan Mara penuhi pasaran kerja
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi Mara, Khairul Izwan Ibrahim berkata, institusi pendidikan Mara adalah peneraju dalam bidang pendidikan teknikal manakala kursus pengurusan dijalankan secara hands-on.
"Ini menjadi lulusan institusi pengajian tinggi Mara sentiasa mendapat perhatian daripada pasaran kerja.
"Malah ramai di antara mereka yang ditawarkan kerja pada tahun akhir pengajian," katanya ketika ditemui di Festival Hari Guru 2013 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Negeri Sembilan.
Menurutnya, Mara menawarkan pengajian tinggi di beberapa institusinya seperti Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Institut Jerman-Malaysia (GMI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Profesional Mara (KPM) dan Kolej Mara.
Katanya, agensi kerajaan itu sentiasa mengadakan kerjasama dengan sektor perindustrian bagi melahirkan pelajar yang memenuhi keperluan industri.
Beliau menarik perhatian, Mara turut menawarkan pendidikan percuma untuk pelajar diploma di KPM dan KKTM dengan yuran pengajian dibiayai oleh agensi tersebut.
"Malah mereka turut diberikan wang saku sepanjang tempoh pengajian tersebut," ujarnya.
- UTUSAN