Selangor Juara SUKMA 2013


Tirai  temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2013 ditutup secara rasmi di Stadium Mini, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.

Bagi edisi ke-16 itu, Selangor dinobat selaku juara keseluruhan apabila berjaya meraih 70 pingat dengan 23 emas, 17 perak dan 30 gangsa.

Lebih manis, kejayaan itu menyaksikan Selangor mengakhiri dominasi Terengganu yang sebelum ini bertekad memburu kejuaraan buat kali kelima berturut-turut.

Terengganu terpaksa berpuas hati berada di tangga kedua pada Sukma kali ini selepas mengumpul 19 pingat emas, 13 perak dan 13 gangsa.

Wilayah Persekutuan juga boleh tersenyum bangga apabila muncul kontinjen ketiga terbaik apabila merekodkan 15 pingat emas, 20 perak dan 27 gangsa.

Selangor turut berpesta apabila atlet gimnastik artistik mereka, Daniel Iskandar Richard, 19, dinobat sebagai Olahragawan Sukma 2013 apabila merangkul tiga emas dan dua perak.

Olahragawati Sukma 2013 pula menjadi milik gimnas cilik dari Sarawak, Esmelda Arecia Menti Alfred Geling, 13, yang berjaya membawa pulang dua emas dan tiga perak.

"Ia satu kemenangan terbaik buat kami apabila berjaya merampas kembali gelaran juara keseluruhan daripada Terengganu. Ia membuktikan kerja keras yang dilakukan oleh kontinjen Selangor selama ini berbaloi.

"Kejayaan Daniel juga membuktikan Selangor mempunyai atlet berbakat besar serta strategi yang diterapkan sepanjang temasya Sukma sangat efektif," ujar Timbalan Ketua Kontinjen Selangor, Aminudin Shari.

Apa yang pasti, senyuman atlet Selangor yang meraih kilauan emas pada temasya kali ini semakin lebar.

"Selain insentif RM3,500 bagi setiap emas yang diraih, atlet Selangor turut menerima insentif tambahan berjumlah RM300 dalam bentuk tunai sebaik sahaja menerima pingat," tambahnya.

Di sebalik kejayaan Selangor itu, Sukma kali ini digemparkan dengan dakwaan seorang atlet bola baling dirogol di Perkampungan Sukan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dakwaan itu juga telah menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan setiap kontinjen bertanding selain peminat sukan tanah air.

Pastinya berita itu telah mencacatkan temasya Sukma kali ini kerana ia adalah insiden pertama berlaku dalam sejarah penganjuran temasya tersebut.

- KOSMO!



 
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url