Chin Peng Meninggal Dunia Di Thailand pada 16 September


Chin Peng Meninggal Dunia Di Thailand

Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok, pada pukul 6.20 pagi Isnin.

Dia berusia 90 tahun.

Menurut laporan Bangkok Post, Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia akibat sakit tua.

Laporan itu juga menyebut saudara-mara akan mengadakan upacara pengebumian pada Jumaat.

Chin Peng yang lahir pada 20 Oktober 1923 mempunyai seorang anak lelaki di Malaysia sementara anak perempuaanya kini menetap di Australia.

Berdasarkan laporan berita, Chin Peng mempunyai empat orang abang.

Seorang daripadanya merupakan bekas guru besar di Ipoh sementara seorang lagi merupakan ahli perniagaan di Pulau Pinang.

Manakala dua yang lain bekerja sebagai jurutera di New Zealand.

Chin Peng diberikan pasport orang asing oleh kerajaan Thailand dan hidup dalam buangan selepas mengetuai pemberontakan gerila PKM dan berjuang menentang British dan tentera Komanwel untuk menubuhkan sebuah negara Komunis bebas.

Pemberontakan komunis gagal dan dia hidup dalam buangan di Thailand dan tidak dibenarkan untuk kembali ke Malaysia

Dalam satu temuramah bersama wartawan The Star pada 2009, Chin Peng menaruh harapan untuk mati di tempat kelahirannya, iaitu Setiawan di Perak.

Tetapi dia juga berkata, jika harapannya itu tidak dapat dipenuhi, dia ingin abu mayatnya dibawa balik untuk ditanam di samping kubur bapanya.

Pada 2008, cubaan bekas pemimpin komunis ini untuk mendapatkan perisytiharan dibenarkan masuk dan hidup di Malaysia terhalang selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memintanya mengemukakan dokumen kelahiran dan kewarganegaraan untuk membuktikan dirinya warganegara Malaysia sebelum dia boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.

- mSTAR



Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url