Top Ad 728x90

Kampus UiTM diberi autonomi

Kampus UiTM diberi autonomi



Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penganuge­rahan status autonomi kepada semua kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam usaha menjadikan institusi keramat itu sebagai universiti terbaik di dunia.

Perdana Menteri berkata, penga­nugerahan tersebut perlu untuk memastikan sistem tadbir urus UiTM mampu mentadbir sebanyak 224,000 pelajar yang dijangka menyertai 244 program di universiti itu menjelang 2020.

Beliau berkata, melalui kuasa autonomi, setiap kampus UiTM akan ditadbir oleh seorang rektor yang boleh membuat keputusan dalam memastikan pentadbiran dan sumber universiti diuruskan dengan baik.

“Saya telah putuskan bersama bahawa konsep yang paling sesuai ialah kita kekalkan UiTM sebagai institusi keramat bumiputera, ini tidak boleh dikompromi, identiti UiTM tidak akan ditukar.

“Tetapi oleh kerana UiTM sudah terlalu besar, saya bersetuju sistem autonomi akan dilaksanakan, maka setiap kampus ada kuasa autonomi tetapi strukturnya tetap kekal,” katanya ketika berucap melancarkan majlis Malam Sumbangsih Perdana Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) UiTM di Shah Alam.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Lembaga Pemegang TP1B, Tan Sri Lodin Wok Kamarudin.

Yang hadir sama, Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Ir. Sahol Hamid Abu Bakar dan Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Zaini Hassan.

Perdana Menteri berkata, pemberian kuasa autonomi yang diputuskan bersama timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah bagi memastikan identiti UiTM terus kekal sebagai universiti terbaik untuk golongan bumiputera.

Tambahnya, sehingga Oktober 2014, UiTM telah berkembang de­ngan pesat dan menampung seba­nyak 177,051 pelajar daripada pe­ringkat pengajian asasi sehingga doktor falsafah.

Sumber: Utusan

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90