Fikir dulu sebelum viral sesuatu berita


Beberapa tahun kebelakangan ini, istilah viral biasa disebut di mana-mana sahaja.

Begitupun, pada hari ini, bahan-bahan viral turut menjadi berita kepada kita semua.

Ketika kempen pemilihan presiden Amerika Syarikat pada tahun 2008, video Yes We Can yang dicipta oleh penyokong Barack Obama telah ditonton lebih 20 juta manusia yang menjadikan beliau popular.

Malah, video itu sememangnya dibangunkan agar ia menjadi viral dan ditatap oleh orang lain.

Bagaimanapun, kini kebanyakan perkara seboleh-bolehnya diviralkan, daripada cerita pelajar sekolah yang tidak mampu menyebut huruf sehinggalah berita palsu kematian tokoh atau artis tertentu.

Ada viral yang mungkin memberikan manfaat selain menyebabkan orang lain teraniaya.

Walaupun tujuan asal sekadar suka-suka, tetapi akhirnya ia memalukan orang yang terlibat apabila ia menjadi berita besar.

Viral mengenai pelajar sekolah yang gagal menyebut perkataan dengan baik atau menghasilkan kraf tangan yang janggal boleh menjadi bahan yang dibualkan di kedai kopi.

Bagaimanapun, apabila ia menjadi viral di internet, ia mendapat reaksi pelbagai daripada pembaca, termasuk komen-komen menghina.

Pada akhirnya, mereka yang memulakan viral mungkin boleh melepaskan diri, tetapi mangsanya pula mendapat malu.

Ada pula gambar atau video yang sengaja diviralkan untuk mendapat simpati. Misalnya, bantuan derma untuk rawatan perubatan atau kos pengajian.

Tujuan

Tujuannya mungkin baik, tetapi ia memberikan kesan yang lain pula. Ini berlaku apabila ada gambar pesakit yang diambil dalam keadaan tidak sesuai untuk digambarkan, termasuk kesan luka atau membuka aurat.

Begitu juga dengan gambar rumah yang uzur atau persekitaran hidup sangat daif.

Walaupun tujuan asalnya baik, namun apabila ada hal-hal yang tidak dijaga, imej-imej ini akan terus menjadi rekod yang boleh ditatap oleh warga maya seluruh dunia.

Bayangkan jika kita sendiri yang berada dalam imej atau menjadi antara orang yang diberitakan di dalam viral itu. Adakah kita sanggup menviralkan imej atau berita yang memberikan kesan negatif tersebut?

Jika kita tidak sanggup melakukannya untuk diri sendiri, jadi janganlah pula kita melakukannya untuk orang lain.

Beberapa kajian psikologi menunjukkan ada kecenderungan viral ini berlaku mengikut situasi emosi seseorang.

Misalnya, sekiranya seseorang itu sedang bergembira, maka biasanya mereka akan berkongsi berita atau imej yang bersifat positif.

Sebaliknya, sekiranya sedang marah, mereka cenderung untuk menyebarkan hal-hal bersifat reaksi kemarahan.

Bagaimanapun, dalam banyak keadaan terdapat pula fenomena lain yang melibatkan ‘bias balik diri’.

Biasanya orang cenderung untuk menyebarkan viral yang bersifat positif mengenai kumpulan mereka sendiri, sebaliknya akan menyebarkan berita yang buruk mengenai pihak lain.

Dalam banyak keadaan, manusia cenderung untuk lebih cepat terjebak dengan emosi apabila membaca hal negatif, maka pada akhirnya ruang siber kita dipenuhi dengan berita yang tidak menyenangkan.

Hal inilah yang kini sedang mendominasi penyebaran viral yang berkaitan berita politik di negara kita.

Bayangkan jika kedua-dua blok penyokong ini setiap hari menghidangkan viral negatif mengenai musuh politik mereka, maka apa yang dibaca oleh pembaca semuanya berkisar hal negatif semata-mata.

Adakah orang yang membaca viral ini percaya apa yang dibacanya? Sebenarnya, bagi sesetengah orang, mereka tidak mempercayai apa yang dibaca atau dilihat.

Bagaimanapun dalam banyak keadaan, secara psikologinya manusia cenderung membaca apa yang ingin dibaca dan melihat apa yang ingin dilihat.

Isu keselamatan

Sebab itu, apabila ada berita yang mungkin sepadan dengan kesukaan, mereka akan lebih mudah percaya dan kemudiannya dikongsikan pula dengan pihak lain.

Sayangnya, apa yang kita suka tidak semestinya benar dalam semua keadaan. Hal yang benar sekalipun, tidak semestinya memberikan manfaat kepada pihak lain.

Viral mengenai kes buli pelajar sekolah misalnya mungkin bertujuan untuk menyedarkan masyarakat.

Begitupun, pada masa yang sama kita juga telah mendedahkan sesuatu yang buruk mengenai mereka yang masih berada di bawah umur.

Viral ini juga akan mendedahkan mereka dengan isu keselamatan yang lain. Mereka mungkin diekori pula oleh pihak lain bagi tujuan membalas dendam.

Akhirnya, sebaik mana pun sesuatu berita itu perlu diviralkan, bayangkan kita berada di dalamnya.

Jika kita tidak menyukainya, walaupun ia memberikan manfaat kepada mereka yang membaca dan melihatnya, maka kita juga wajar menghindarkannya.

- Kosmo!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url