Pemegang Ijazah Kelas 2 Atas Perlu Bayar Pinjaman PTPTN



Seramai 2,643,734 pelajar membuat pinjaman berjumlah RM48.6 bilion daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak ia ditubuhkan pada 1997, kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Mary Yap berkata daripada jumlah itu, kira-kira 41,706 peminjam dengan pinjaman RM1.2 bilion mendapat manfaat pelepasan pengecualian bayaran balik.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berhubung pinjaman PTPTN di Dewan Rakyat pada Rabu.

Menurut Mary Yap, kementerian juga tidak merancang untuk memperluaskan pengecualian bayaran pinjaman balik kepada graduan yang mendapat ijazah kelas 2 atas.

"Kementerian buat masa ini masih belum bercadang meluaskan skop pengecualian bayaran balik, terutama kepada yang mendapat kelas ke-2 atas," katanya.

Ditanya sekiranya PTPTN telah mengenal pasti punca segelintir peminjam tidak membayar pinjaman mereka, Mary Yap berkata tiada kajian terperinci dilakukan.

Namun, katanya, maklum balas yang diterima mendapati antara faktor peminjam gagal melunaskan pinjaman ialah mereka belum mendapat pekerjaan dan telah bekerja tapi pendapatan tidak setimpal dengan kelulusan.

"Peminjam lain mempunyai gaji yang mencukupi tetapi memandang ringan pembayaran pinjaman," katanya.

- mSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url