Video Gadis Ceti Tuntut Hutang Viral
Masih ingat lagi video tular sebelum ini mengenai seorang gadis yang menuntut hutang daripada rakannya dengan aksinya yang mencuit hati?
Kali ini, gadis tersebut kembali dengan video baharu yang masih dengan telatah lucu membuatkan sesiapa sahaja yang menontonnya tidak kering gusi.
Menerusi video yang dikongsikan dalam laman sosial termasuk di Facebook Nurhayati Tahir (Bunga Marshelloop), gadis tersebut berkongsi ‘berita gembira’ mengenai rakannya telah melangsaikan hutang.
Menariknya, ‘rakannya yang berhutang’ itu kali ini sendiri menghubunginya berbanding sebelum ini enggan menjawab panggilan apabila dihubungi.
“Hello aku nampak video engkau, nasib baik engkau tak letak muka aku. Terima kasihlah, malunya kalau ada muka aku. Baru empat tahun tak bayar, aku nak bayarlah ni,” katanya yang melakonkan watak ‘rakan berhutang’ itu dengan gaya bersahaja.
“Hutang dah langsai! Sekarang dah tak payah makan tahi gigi, dah gosok bersih bersih dah. Boleh raya cantik cantik, terima kasihlah dah bayar balik duit itu,” katanya sambil terus menunjukkan reaksi wajah ceria melucukan.
Video berdurasi dua minit dan 16 saat itu kemudiannya diakhiri dengan pantun dua kerat buat rakannya.
“Empat tahun makan tahi gigi, lepas ini tak bagi pinjam lagi,” katanya sambil menambah bahawa dia dahulu bukannya bodoh kerana bagi pinjam, tetapi kurang cerdik.
“Cukuplah sekali saja bagi pinjam,” katanya.
Nurhayati sebelum ini mendapat perhatian netizen kerana banyak menghasilkan video gurauan tetapi sarat dengan mesej dan dekat dengan kehidupan masyarakat.
- mSTAR