Umat Islam Dilarang Pelihara Anjing Dalam Rumah - Mufti Perlis
Umat Islam dilarang memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan yang kukuh, kata Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurutnya ini kerana ada hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut jilatan anjing adalah najis.
“Bagi mengelak dijilat anjing yang sentiasa menjelir lidah yang dianggap najis dari segi agama dan bahaya mengikut sains, maka Islam melarang memelihara anjing di dalam rumah tanpa alasan kukuh,” lapor Bernama yang memetik kenyataan Mohd Asri menerusi sosial Facebooknya.
Beliau mengulas perbuatan seorang wanita Islam yang bertudung memelihara anjing dalam rumah yang membiarkan anjing peliharaannya menjilat beliau dan menjadi viral setelah memuat naik dalam Facebook wanita tersebut.
Menurut Mohd Asri, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim ada menyebut Nabi Muhammad SAW pernah bersabda "Sesiapa yang memelihara anjing maka sesungguhnya berkurangan (pahala) amalannya setiap hari sebesar qiroth (sebesar Bukit Uhud) kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan).”
Berdasarkan hadis tersebut, sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang disebutkan itu adalah makruh walaupun ada ulama yang mengharamkannnya, kata Mohd Asri.
Katanya walaupun hadis tersebut tidak menyebut dosa hanya pahala yang berkurangan, maka hukumnya adalah makruh mengikut sebahagian fuqaha.
Selain itu, salakan dan bulu-bulu anjing yang berterbangan seolah-olah tidak mengalu-alukan tetamu sedangkan Islam menggalakkan masyarakat menjalin hubungan baik dengan jiran, tambahnya.
Beliau berkata banyak kajian mendapati gigitan dan najis anjing berbahaya kepada kesihatan manusia dan atas sebab itu Islam mengingatkan penganutnya mengenai bahaya memelihara anjing tanpa sebab kukuh.
- mSTAR