Top Ad 728x90

,

Nissan Panggil Semula 1.2 Juta Kenderaan



YOKOHAMA, JEPUN: Nissan Motor akan memanggil semula kira-kira 1.2 juta kenderaan keluaran syarikat itu yang dijual dalam tempoh tiga tahun lepas (Oktober 2014-September 2017), susulan pendedahan kenderaan berkenaan melalui proses pemeriksaan akhir oleh juruteknik tidak berkelayakan.

Presiden Nissan Motor Co Hiroto Saikawa berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan Jepun pada minggu ini, lapor agensi berita Jepun Jiji Press.

"Sejujurnya saya memohon maaf di atas kesilapan yang berlaku," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat syarikat di Yokohama, Tokyo pada Isnin.

Nissan pada Jumaat mendedahkan beberapa pemeriksaan kenderaan yang telah siap di semua kilang tempatannya dijalankan pekerja tidak bertauliah.

Menurut sumber, terdapat keraguan kemungkinan syarikat berkenaan memalsukan dokumen yang dilihat seolah-olah pemeriksaan akhir dijalankan juruteknik bertauliah.

Beliau berkata, Nissan akan menjalankan siasatan yang mungkin memakan masa selama sebulan untuk mengetahui sejak bila amalan seperti itu dilakukan.

Katanya, syarikat juga akan menyusun langkah untuk memastikan pemeriksaan kenderaan akhir hanya dijalankan pekerja berkelayakan.

Mengulas mengenai tanggungjawab dan tindakan kepada pihak terlibat, Saikawa merangkap pengerusi Persatuan Pengilang Automobil Jepun berkata, perkara itu akan dipertimbangkan selepas siasatan mencapai tahap memuaskan.

Pemeriksaan kenderaan oleh juruteknik tidak bertauliah mula menjadi isu apabila Kementerian Pengangkutan mengadakan lawatan mengejut ke kilang pengeluaran kereta Nissan.

Hasil tinjauan mendapati juruteknik tidak bertauliah didapati melakukan pemeriksaan akhir pada 21 model kenderaan Nissan yang dikeluarkan pada 18 Sept atau sebelum.

Langkah memangil semula kenderaan itu membabitkan kos lebih 25 bilion yen.

Di bawah arahan Kementerian Pengangkutan, pembuat kenderaan dikehendaki memastikan pemeriksaan akhir hanya dijalankan pekerja yang layak di bawah peraturan dalaman masing-masing.

Di Nissan, didapati terdapat pembantu juruteknik yang tidak layak turut mengambil bahagian dalam beberapa pemeriksaan.

- Bernama


0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90