Rumah Impian Bangsa Johor ditawar serendah RM70,000


Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengumumkan program perumahan mampu milik untuk bangsa Johor di bawah naungan Yayasan Sultan Ibrahim akan dilaksanakan.

Projek tidak melibatkan keuntungan yang dinamakan 'Rumah Impian Bangsa Johor' itu akan dibina dalam bentuk rumah teres satu atau dua tingkat dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.

Harga untuk seunit teres satu tingkat tersebut akan bermula pada harga RM70,000, sementara teres dua tingkat pula akan dijual di bawah RM200,000.

Bagi melayakkan pemohon untuk membeli rumah mampu milik berkenaan, mereka mestilah seorang bangsa Johor yang berpendapatan isi rumah bawah RM5,000.

Pemohon bukanlah anak sulung atau anak tunggal dan tidak pernah memiliki rumah sebelum ini.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Johor mahu pengagihan yang adil kepada seluruh kaum Melayu, Cina dan India.

"Baginda mahu membina semangat kemasyarakatan," kata Tunku Ismail pada catatan di Facebook baginda, Ahad.

Tunku Ismail berkata, yayasan itu akan melantik pengurus projek dan kontraktor untuk membina rumah mengikut spesifikasi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

"Rakyat turut akan menerima kemudahan dewan serbaguna, taman, kedai dan motel. Ia dibina dan dibiayai oleh DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor," ujarnya.

- MStar


Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url