Fenomena luar biasa Avengers: Endgame



Bermula dengan filem Iron Man lakonan hebat Robert Downey Jr pada tahun 2008, sejak daripada itu peminat watak adiwira seluruh dunia sentiasa menunggu-nunggu filem-filem adiwira Marvel yang hebat.

Setelah menerbitkan 21 filem dalam tempoh masa 11 tahun, kini Marvel Studios sekali lagi akan menggegarkan dunia menerusi tayangan filem ke-22 dalam ‘Marvel Cinematic Universe’ (MCU) iaitu filem Avengers: Endgame.

Berbanding peminat di Amerika Syarikat (AS), peminat di Malaysia sangat bertuah kerana filem ini bakal ditayangkan dua hari lebih awal. Di AS tayangan filem ini hanya akan bermula pada 26 April ini.


Lebih menghangatkan suasana menjelang tayangan filem ini di seluruh negara pada 24 April ini, pawagam tempatan seperti GSC dan TGV bakal menayangkan filem ini seawal pukul 7 pagi. Paling mencetuskan fenomena tiket awal untuk tayangan filem ini dikatakan semuanya sudah habis dijual.

Tidak kurang hebatnya penangan filem ini apabila di negara jiran, Indonesia tiket yang dijual bukan sahaja laris bak pisang goreng panas tetapi ada beberapa pawagam di negara itu akan mula menayangkan filem ini seawal pukul 5 pagi pada hari pertama tayangannya.

Cetus fenomena
Keterujaan peminat untuk menyaksikan filem terbaharu Avengers ini bermula sejak Disember tahun lalu apabila Marvel menayangkan trailer pertama filem tersebut dengan memaparkan bagaimana kehidupan ahli Avengers yang masih hidup dalam menghentikan kejahatan Thanos.

Kemudian, sebulan sebelum tayangan filem ini di seluruh dunia, Marvel sekali lagi membuatkan peminat filem adiwira ini tidak senang duduk apabila melancarkan trailer kedua pada bulan lalu. Salah satu highlight dan menarik dalam trailer ini ialah kemunculan watak adiwira wanita MCU, Captain Marvel. Lebih mengagumkan apabila trailer ini telah mencatatkan lebih 90 juta tontonan dan lebih 200,000 komen dalam laman YouTube.

Trailer yang berdurasi selama 2 minit 26 saat ini dimulakan dengan paparan imbasan oleh watak Iron Man, Captain America, Hawkeye/Ronin, Black Widow, Thor, Ant-Man dan Hulk mengenai kehilangan orang-orang yang disayangi mereka dalam usaha membalas dendam terhadap kejahatan yang dilakukan oleh Thanos.

Boleh dikatakan filem Avengers:Endgame ini merupakan sambungan jawapan terhadap apa yang berlaku dalam filem Avengers: Infinity War yang mana hampir separuh watak adiwira hilang seperti debu.

Disebabkan faktor sambutan luar biasa, tiket-tiket yang dijual untuk tayangan awal filem ini yang baru dibuka awal minggu lalu telah habis dijual di AS dan paling mengejutkan terdapat individu yang menjual semula tiket ini dengan harga berkali-kali ganda. Menerusi laman web Ebay, harga untuk hari tayangan awal ditawarkan bermula pada harga AS$50 (RM204) hingga AS$2,500 (RM10,000)!

Selain itu menurut laman web jualan tiket di AS iaitu Fandago dan Atom, jualan minggu pertama tiket Avengers: Endgame mencecah dua kali ganda berbanding jualan tiket filem Aquaman, Star Wars: The Last Jedi, Avengers: Infinity War dan Captain Marvel jika digabungkan.

#DontSpoilTheEndgame
Namun begitu, di sebalik keghairahan untuk menjadi yang terawal menonton filem adiwira ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang telah melakukan rakaman secara haram dan membocorkannya melalui media sosial.

Biar pun berjaya disekat daripada terus ditonton, kebocoran klip video ini yang muncul beberapa hari sebelum tayangan filem ini menimbulkan persoalan banyak pihak kerana dipercayai dirakam ketika sesi tayangan oleh pihak yang telah mendapat kebenaran untuk menonton visual filem ini terlebih dahulu.

Situasi tidak dijangka ini terus mendapat kecaman daripada pengarah filem ini, Joe dan Anthony Russo yang meluahkan kekecewaan mereka melalui laman sosial Twitter pada Selasa lalu.

Menerusi perkongsian di Twitter dengan tanda pagar #DontSpoilTheEndgame, pengarah dua bersaudara ini meminta supaya orang ramai tidak terus menyebarkan klip video ini.

“Kami berdua bersama mereka yang terlibat dalam menjayakan Endgame, telah bekerja keras selama tiga tahun bagi memberikan kejutan dan penutup penuh beremosi untuk infiniti saga ini. Disebabkan banyak pihak yang telah mengorbankan waktu, jiwa dan raga kepada cerita ini, kami sekali lagi memohon bantuan kepada semua pihak.

“Apabila ada yang menonton Endgame dalam minggu ini, tolong jangan ‘spoil’ (rosakkan) penantian peminat lain, seperti yang kamu tidak suka orang lain membuat kerosakan yang sama pada kamu,” kata mereka.

- UTUSAN


Next Post Previous Post
1 Comments
  • n.u.k.i.l.a.n
    n.u.k.i.l.a.n Rabu, 24 April 2019 pada 10:27:00 PG SGT

    Sungguh fenomena ni. Dasyat tayangan seawal 7am. Ada juga rakan di fb menyatakan seats pada waktu itu juga hampir penuh.

Add Comment
comment url