Cari tutor pilihan kini lebih mudah dengan MyClaaz
MyClaaz antara salah satu aplikasi terbaharu yang dibangunkan dan ia menjadi platform bagi membolehkan orang ramai mencari sendiri tutor ataupun tenaga pengajar.
Pengasas MyClaaz, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, aplikasi itu adalah satu platform digital pendidikan dan pembelajaran yang mesra pengguna.
Menurutnya, melalui platform itu orang ramai boleh mencari dan memilih tutor, tenaga pengajar ataupun profesional dalam sesuatu bidang yang mereka mahukan perkhidmatan mereka.
“MyClaaz adalah satu pemudah cara untuk kita semua mendapatkan pendidikan dan pembelajaran seiring dengan perkembangan teknologi.
“Aplikasi ini dibangunkan oleh sepasukan jurutera program tempatan.
“Menerusinya, mereka yang mahir dalam sesuatu bidang boleh menggunakan aplikasi ini untuk memasarkan diri dan produk masing-masing, sekali gus mampu untuk menjana pendapatan tambahan,” ujarnya.
Melalui aplikasi ini juga dapat memudahkan individu untuk mempelajari sesuatu bidang ilmu profesional seperti pelaburan, perakaunan dan sebagainya.
Di samping itu, ibu bapa kini pula lebih mudah untuk mencari tutor peribadi buat anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan besar seperti Sijil Pelajaran Malaysia.
Bercerita lanjut, Zaharuddin menjelaskan, idea untuk membina aplikasi itu hadir setelah dia menghadapi masalah mencari tutor terbaik untuk anak-anaknya.
“Jadi, saya cuba menyelesaikan masalah ini dengan membina satu aplikasi berasaskan pendidikan yang dapat memberi manfaat kepada semua orang di negara ini.
“Aplikasi ini bukan hanya melibatkan sistem untuk pendidikan semata-mata. Sebaliknya, jika mereka mempunyai kepakaran tertentu dalam sesuatu bidang boleh juga menggunakannya bagi menyebarkan ilmu yang dimiliki kepada orang lain,” ujarnya.
Selain itu, mereka yang mempunyai kelayakan boleh menggunakan aplikasi itu untuk menawarkan diri menjadi tutor ataupun tenaga pengajar, di samping boleh menjana pendapatan tambahan melalui penjualan buku elektronik (e-buku) masing-masing.
Selain itu, mereka turut boleh mencipta kompilasi soalan-soalan ramalan untuk dijual kepada para pelajar.
Sebagai contoh, graduan dalam bidang pendidikan yang masih menganggur boleh menggunakan aplikasi ini untuk mencari pelanggan yang memerlukan khidmat tutor.
Dalam perkembangan sama, mereka yang mahir dalam bidang analisis pelaburan saham misalnya, boleh menggunakan aplikasi tersebut bagi menganjurkan kelas atau bengkel dengan mudah, kerana aplikasi ini lengkap dengan payment gateway bagi pembayaran melalui akaun bank atau kad kredit.
MyClaaz menawarkan sistem pendidikan unik dan memenuhi keperluan pelajar dan tutor.
Melalui aplikasi ini, pelajar boleh berhubung terus dengan tutor atau tenaga pengajar dengan beberapa langkah mudah.
Pembelajaran di MyClazz juga mempunyai banyak pilihan, selain cara bersemuka juga boleh dilakukan melalui video webinar atas persetujuan kedua-dua pihak.
Selain itu, tenaga pendidik, tutor atau pensyarah boleh mengiklankan nota, buku atau rakaman video pengajaran sendiri.
Di aplikasi tersebut, mereka juga boleh menyediakan soalan peperiksaan secara dalam talian dan menjualnya kepada sesiapa sahaja yang berminat.
Dalam pada itu, MyClaaz turut menyediakan platform bagi sektor perniagaan, universiti dan badan profesional lain.
Mereka boleh memanfaatkan platform yang berinovatif ini secara dalam talian dengan pelbagai fungsi bagi interaksi institusi dan kumpulan sasar.
Menerusi aplikasi tersebut, pelajar boleh mendapat akses secara langsung bagi mengetahui latar belakang, kelayakan dan pengalaman seseorang tutor.
Mereka yang berminat dengan aplikasi itu boleh melayari laman web myclaaz.com atau memuat turun melalui platform Google Play dan App Store.