Misteri hantu ular sawa di Tanjung Jaga

 

Banglo putih di tengah hutan ini terbiar sehingga kini.

Masyarakat yang tinggal di sekitar Kuala Muda dan Yan, Kedah pasti pernah melalui laluan Tanjung Jaga yang menjadi salah satu jalan penghubung antara kedua-dua daerah itu.

Jalan sejauh 10 kilometer yang merentasi kawasan sekitar lereng Gunung Jerai itu menyajikan panorama lautan membiru Selat Melaka yang indah terbentang.

Justeru tidak hairanlah, Tanjung Jaga sering menjadi pilihan para pengunjung yang berhasrat untuk menikmati pemandangan laut.
Di satu sudut bertentangan, laluan tersebut dipenuhi dengan dusun buah-buahan seperti pokok durian, rambutan, manggis dan tumbuhan hutan.

Nama Tanjung Jaga asalnya dipanggil Teluk Air. Kawasan tersebut sering menjadi pilihan kaki pancing dan pencari sumber laut seperti lala, kepah dan lokan.

Sejak kebelakangan ini, laluan yang mempunyai banyak selekoh berliku itu semakin menjadi pilihan masyarakat setempat terutamanya mereka yang berulang-alik dari Yan ke Sungai Petani.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui Tanjung Jaga menyimpan pelbagai misteri yang masih belum terungkai oleh sesiapa termasuk pengkaji sejarah.

Menyingkap antara misteri di situ adalah sebuah banglo usang yang tersergam indah di dalam hutan terletak tidak berapa jauh dari jalan utama Tanjung Jaga.

Banglo terbiar tersebut yang dipercayai telah wujud sebelum 1950-an lagi didakwa milik seorang gabenor dari Pulau Pinang, namun selepas pemiliknya meninggal dunia, ia dibiarkan begitu sahaja.

Bagaimanapun, tidak lama selepas itu anak gabenor berkenaan menetap di situ. Selepas beberapa tahun, rumah banglo itu dibiar kosong kembali oleh anaknya.

Banglo putih itu dibiarkan tidak berpenghuni untuk tempoh sekian lama sehinggalah kini.

Selain banglo terbiar, Tanjung Jaga juga mempunyai sebuah telaga lama yang dikatakan menyimpan pelbagai misteri.

Dikatakan, air telaga tersebut tidak pernah kering meskipun pada musim kemarau. Namun, begitu laluan untuk ke telaga tersebut ketika ini dipenuhi semak yang tebal.

Bagi penduduk setempat, pelbagai kisah misteri didengari oleh mereka sejak sekian lama, malah ada yang mengalami sendiri pengalaman aneh tersebut di depan mata.

Satu lagi cerita misteri yang popular dalam kalangan penduduk setempat adalah hantu menyerupai ular sawa bersaiz gergasi.
Pada satu malam, seorang pemuda memandu bersendirian melalui kawasan Tanjung Jaga pada waktu tengah malam untuk pulang ke rumahnya di Yan.

Selepas melewati satu selekoh, dia terlihat ular sawa bersaiz gergasi sedang melintas jalan. Malangnya, dia tidak sempat menghentikan kenderaan lalu melanggar haiwan tersebut.

Dia memilih keluar daripada kenderaan untuk melihat keadaan ular tersebut. Dalam keadaan gelap itu dia tidak menjumpai susuk ular berkenaan. Kemudian, dia masuk kembali ke dalam kenderaannya untuk meneruskan perjalanan.

Bagaimanapun, selepas tiba di kawasan bercahaya, lelaki itu memandang cermin pandang belakang keretanya sebelum terlihat seorang wanita berambut panjang duduk di bahagian kerusi belakang.

Salah seorang penduduk tempatan, Shahrul Ahmad, 31 berkata, laluan tersebut agak gelap dan sunyi pada waktu malam sehingga mewujudkan suasana seram kepada pengguna jalan raya.

“Lagipun, pada waktu malam tidak banyak kenderaan yang lalui kawasan ini. Jika ada pun, jarang-jarang. Saya sendiri pun meremang bulu roma kalau memandu seorang diri di laluan itu,” katanya.

Kawasan itu menjadi bertambah misteri apabila seorang lelaki telah membunuh tunangnya di sekitar Tanjung Jaga antara pukul 12 tengah malam hingga 4 pagi pada 2006.

Mengikut fakta kes, mangsa telah ditemui mati dalam keadaan separuh bogel serta berlumuran darah dipercayai dipukul objek keras dan cedera parah di bahagian kepala.

Suspek dipercayai marah besar dan bertindak di luar batasan apabila mengetahui tunangnya hamil sedangkan mereka tidak pernah melakukan hubungan intim bersama.

Menurut Shahrul, pihak berwajib perlu memastikan lampu di kawasan itu sentiasa berada dalam keadaan baik bagi mengurangkan ketakutan orang ramai.

“Saya tengok sekarang pihak berwajib sudah mula membuang pokok-pokok di laluan ini. Ia satu langkah baik bagi mengurangkan rasa takut pengguna jalan raya,” katanya.

Shahrul percaya, kisah-kisah misteri yang diperkatakan di kawasan itu berlaku ekoran keadaan laluannya kelihatan agak menyeramkan kerana dipenuhi hutan.

Katanya, keadaan tersebut membuka ruang kepada orang ramai untuk mereka pelbagai cerita seram yang tidak dipastikan sejauh mana kebenarannya.

 


Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.

Sumber : Kosmo!

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url