Modenas Elegan 250 ABS
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan skuter maxi, Modenas Elegan 250 versi ABS yang ditawarkan pada harga RM15,315.
Berdasarkan tanda harga yang ditawarkan untuk Modenas Elegan 250 versi ABS, ia dikatakan skuter yang memberikan lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan dalam segmennya.
Walaupun reka bentuk skuter ini mungkin tidak banyak berbeza dengan model sebelum ini, namun varian ini ada menawarkan beberapa ciri tambahan.
Modenas Elegan 250 versi ABS dilengkapi dengan enjin suntikan bahan api, 4-lejang dan silinder tunggal, SOHC 250cc yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW pada 7000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6500 rpm.
Ia memiliki sistem penyejukan cecair untuk meningkatkan prestasi penyejukan serta memberikan perlindungan dan ketahanan pada enjin.
Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan speedometer digital pelbagai fungsi yang memaparkan beberapa maklumat tambahan seperti meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan terutamanya peringatan penukaran minyak.
MODENAS mendakwa ciri berkenaan tidak didapati pada model yang harganya jauh lebih tinggi di pasaran.
Satu lagi ciri yang sangat berguna yang ditawarkan menerusi model ini adalah soket pengecas USB yang dipasang secara strategik di kotak simpan pada papan pemuka, yang membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka ketika sedang berada di atas jalan atau pada bila-bila masa.
Dari segi keselamatan, skuter maxi Modenas baru ini mendapat sistem ABS dua saluran iaitu di bahagian depan dan belakang, yang mengelakkan roda daripada terkunci dan memberikan daya berhenti yang unggul dalam semua keadaan cuaca.
Ia juga dilengkapi dengan lampu depan projektor yang lebih bergaya dengan lampu nyalaan siang (DRL) jenis LED yang membantu penglihatan bagi penunggang dan pengguna jalan raya lain pada bila-bila masa, sementara lampu belakang berbentuk 'X' jenis LED memberikan penglihatan yang lebih terang dan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain ketika tunggangan pada waktu malam.
Aspek reka bentuk pula menyaksikan Modenas Elegan 250 ABS direka untuk keselesaan dan praktikaliti.
Skuter maxi ini menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang cukup besar dan boleh memuatkan dua helmet, atau barangan membeli belah; ataupun apa sahaja yang mungkin anda ingin bawa semasa percutian pendek anda.
Tempat duduknya memberikan keselesaan tambahan bagi penunggang dan pembonceng, sementara tempat letak kaki direka secara dinamik untuk kedudukan kaki yang lebih fleksibel dan relaks yang menjanjikan keselesaan yang lebih baik dalam semua jenis situasi tunggangan.
Selain daripada peningkatan prestasi dan gaya, Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan perjalanan yang lebih selamat dan selesa dengan kerangka tinggi serta lengan ayun belakang yang memberi tunggangan yang lebih stabil.
Modenas Elegan 250 ABS hadir dengan dua pilihan warna iaitu Matte Satin Merah dan Matte Satin Hitam.
Model ini boleh didapati di semua pengedar sah MODENAS bermula bulan ini.