Tangkap, kompaun RM10,000 jika langgar SOP kawalan COVID-19

 

Individu yang melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19, akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000.

Syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama, pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu, hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Kadar kompaun baharu itu akan berkuat kuasa mulai 11 Mac ini, mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan hari ini.

Semua perbuatan menyalahi Ordinan Darurat kini boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 itu, diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, pada 11 Januari lalu.

Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas berpuas hati, bahawa tindakan serta merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Selain itu, pindaan terhadap penalti am mengikut Seksyen 24 ordinan sama, bagi kesalahan yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata, kini boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, ordinan sama menetapkan mana-mana individu yang dijangkiti atau dipercayai telah dijangkiti atau mana-mana kontak rapat, boleh diperintah memakai peranti pengesanan.

Peranti pengesanan itu termasuklah suatu gelang tangan atau apa-apa peranti yang diberikan pegawai yang diberi kuasa dan sebarang perbuatan memusnah, merosak, menghilang atau mengubahnya, menjadi satu kesalahan.

Sumber : Berita Harian

 

 

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.