Bayar zakat fitrah di platform Boost
Jenama e-dompet tempatan, Boost sekali lagi membuka bayaran tanpa kontak untuk pembayaran zakat fitrah di enam negeri tahun ini.
Sehingga 12 Mei depan, umat Islam yang ingin menunaikan zakat fitrah boleh berbuat demikian menggunakan Boost.
Ia meliputi bayaran zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (PBMaINS) dan Pusat Pungutan Zakat- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, melalui cara ini, lebih ramai umat Islam boleh membayar zakat pada bulan mulia dengan selamat dan mudah.
"Dalam norma baharu sekarang, semakin ramai orang terbuka kepada pengalaman serta gaya hidup tanpa kontak dan dalam talian.
"Memandangkan bazar Ramadan dan solat Tarawih di masjid diizinkan pada jumlah terhad tahun ini, kami ingin memastikan kesejahteraan warga Malaysia kekal terpelihara dengan menawarkan solusi tanpa kontak.
"Oleh itu, kami memperkenalkan semula tawaran utama dan kolaborasi baharu dengan pelbagai rakan kerja sebagai usaha kolektif untuk membolehkan masyarakat Islam beribadah dengan selamat pada bulan mulia," katanya.
Menurutnya, pengguna boleh membayar zakat fitrah dengan mengetik tile Zakat di laman utama atau melalui tab Do More di bahagian Donation.
"Pengguna boleh menambah akaun zakat dengan hanya menyediakan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit. Maklumat Harga Beras juga tersedia di aplikasi," katanya.
"Selepas selesai membuat pembayaran, pengguna akan menerima resit melalui e-mel yang boleh digunakan untuk tujuan rebat cukai persendirian. Pembayaran zakat melalui e-dompet adalah sah tanpa lafaz akad dan mematuhi undang-undang Islam," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, selain zakat fitrah, pembayaran zakat harta di aplikasi juga tersedia untuk LZS, PPZ-MAIWP, dan MUIS sepanjang tahun. Untuk LZNK, MUIP dan PBMaINS, perkhidmatan ini akan ditawarkan bermula Mei depan.
Sumber : Berita Harian