ECRL: Jajaran Utara tak rentas Empangan Batu, Permatang Kuartza
Jajaran Utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Mentakab ke Pelabuhan Klang yang kembali ke jajaran asal cadangannya, tidak akan merentasi kawasan Permatang Kuartza Gombak dan Empangan Batu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata ini kerana Jajaran Utara direka untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar.
Oleh itu, Kementerian Pengangkutan akan memastikan projek ECRL tidak akan menjejaskan Permatang Kuartza Gombak yang sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Reka bentuk laluan rel yang dicadangkan untuk bahagian jajaran itu adalah laluan bertingkat yang akan menyusuri jalan sedia ada yang merentasi permatang itu.
"Pendek kata, laluan ECRL akan dapat mengelak Permatang Kuartza Gombak serta tidak akan menjejaskan zon perlindungannya," katanya dalam sidang media mengenai ECRL.
Jajaran Utara juga tidak akan menceroboh kawasan tadahan air seperti Empangan Batu iaitu antara empangan yang membekalkan air kepada penduduk Selangor dan Lembah Klang serta mengelak kawasan berpenduduk padat di daerah Gombak.
Walaupun terdapat tujuh hutan simpan antaranya Ulu Gombak, Templer, Serendah dan Rantau Panjang yang mungkin dilalui Jajaran Utara, beberapa terowong sepanjang 15.22 kilometer (km) akan dibina untuk mengurangkan penebangan hutan simpan.
ECRL Jajaran Utara dijangka melintasi tiga kawasan tadahan air antara Mentakab dan Pelabuhan Klang manakala Jajaran Selatan dijangka melintasi sekurang-kurangnya empat kawasan tadahan air.
"Impak sosial Jajaran Utara juga tidak sebesar Jajaran Selatan. Contoh di bawah Akta Pengambilan Tanah, Jajaran Utara dijangka membabitkan 4,302 lot berbanding Jajaran Selatan, 6,038 lot," katanya.
Beliau berkata semakin kurang jumlah tanah diambil bermakna semakin kurang pampasan yang perlu dibayar kerajaan kepada pemilik tanah kerana kebanyakannya membabitkan tanah dan trek Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).
Secara amnya, Jajaran Utara mungkin memberi kesan kepada 11 kawasan perumahan di sepanjang 201km Jajaran Utara berbanding 19 kawasan perumahan di Jajaran Selatan.
"Daripada aspek pembabitan Orang Asli, ia memihak kepada Jajaran Utara kerana hanya dua kebarangkalian kawasan Orang Asli mengalami kesan berbanding tujuh kawasan di Jajaran Selatan," katanya.
Berhubung isu pembabitan Tanah Rizab Melayu pula, Jajaran Utara menjejaskan dua kawasan iaitu di Gombak dan Rantau Panjang manakala Jajaran Selatan akan menjejaskan sekurang-kurangnya tiga kawasan iaitu di Beranang, Jenderam serta Dengkil.
Sumber : BERNAMA