Top Ad 728x90

,

Penerima vaksin masih berisiko menjadi pembawa virus

 

Pakar kesihatan awam memohon kerajaan meneliti semula cadangan membenarkan penerima dos lengkap vaksin COVID-19 untuk merentas negeri dan mungkin boleh menuju ke negara tertentu.

Ia berikutan, penerima vaksin itu masih berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, selain berpotensi membawa pulang mutasi baharu virus COVID-19 dari luar negara, yang berisiko menjejaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata cadangan itu akan menjadi galakan untuk orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, katanya, penerima vaksin masih berisiko menyebarkan jangkitan, sekali gus mungkin menyebabkan individu lain yang belum menerima vaksin, dijangkiti wabak itu melalui mereka.

"Vaksin COVID-19 berfungsi melindungi penerimanya daripada mendapat penyakit yang serius, namun vaksin ini belum terbukti boleh mencegah penerimanya mendapat dan menyebarkan jangkitan.

"Ertinya, penerima vaksin masih berisiko mendapat virus itu dan menyebarkannya kepada orang lain, sekali gus memberi kesan kepada orang yang belum divaksin.

"Cadangan membenarkan penerima vaksin rentas negeri atau ke luar negara belum sesuai dilaksanakan kerana masih ramai individu belum divaksin, menyebabkan risiko jangkitan kekal tinggi, selain timbul isu ketidakadilan pada yang belum divaksin," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin COVID-19 bukan sahaja akan dibenarkan merentas negeri, malah dijangka boleh ke luar negara tertentu, dengan syarat mereka memiliki sijil pengesahan.

Sijil pengesahan itu akan diberikan kepada individu sudah menerima dua dos vaksin COVID-19, sekali gus menjadi 'pasport' untuk mereka bergerak, di samping kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.

Dr Zainal berkata, cadangan membenarkan penerima vaksin ke luar negara, dibimbangi berisiko menyebabkan seseorang individu itu membawa pulang varian baharu virus COVID-19 ke Malaysia, yang bakal memberi impak kepada trend penularan pandemik itu di negara ini.

"Jika penerima vaksin tidak dikuarantin atau dikuarantin dalam tempoh terlalu singkat, dia berisiko dijangkiti dan membawa mutasi baharu. Harap cadangan ini tidak dilaksanakan secara umum, tetapi bersyarat," katanya.

Sementara, pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, juga berpandangan penerima vaksin COVID-19 berisiko menjadi pembawa virus tidak bergejala, kerana mereka masih memiliki kebarangkalian dijangkiti virus berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu sebelum melaksanakan cadangan berkenaan, khususnya mengenai risiko penerima vaksin menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain.

"Selagi belum ada kajian membuktikan penerima vaksin tidak lagi menjadi pembawa virus itu, maka cadangan ini belum sesuai untuk dilaksanakan dan wajar diteliti lebih lanjut.

"Beberapa isu juga perlu dikaji, seperti rentas negeri membabitkan keluarga. Vaksin hanya diberi kepada individu 18 tahun ke atas, jadi adakah satu keluarga akan dibenarkan rentas negeri atau individu tertentu sahaja," katanya.

Dr Hanafiah turut sependapat dengan pandangan Dr Zainal bahawa mutasi baharu yang dibawa dari luar negara bakal dikhuati memberi kesan negatif kepada pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

"Banyak negara melaporkan menemui varian baharu COVID-19. Persoalannya, adakah vaksin yang kita miliki boleh melindungi daripada varian baharu ini," katanya.

Sumber : Berita Harian

 

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90