Jangkitan COVID-19 kepada kanak-kanak membimbangkan
Trend terbaharu jangkitan COVID-19 terhadap kanak-kanak semakin membimbangkan dengan lebih ramai bayi berusia bawah dua tahun yang dijangkiti berada dalam keadaan lebih serius berbanding dahulu.
Pakar Pediatrik Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS), Dr Mohd Zuraizi Jaafar, berkata meskipun mengikut statistik, peratusan jangkitan terhadap kanak-kanak masih rendah tetapi kadar kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) semakin tinggi.
Beliau berkata, trend terbaharu jangkitan terhadap kanak-kanak terutamanya melalui gelombang ketiga dan keempat ini, berkemungkinan berkait dengan varian COVID-19 baharu yang disifatkan sebagai lebih ganas dan cepat tersebar.
"Jika anda terdedah kepada jangkitan COVID-19, perhatikan keadaan anak-anak. Meskipun kadar jangkitan kepada golongan ini masih rendah tetapi keadaan mereka lebih mudah menjadi teruk dengan pantas.
"Jika anak-anak sudah semakin kurang menyusu atau makan, kurang aktif, mulai selesema atau batuk, jangan berlengah dan terus bawa mereka ke hospital pakar seperti hospital negeri.
"Jangan beri tambahan risiko pendedahan kepada perawat perubatan yang lain. Terus ke pusat saringan di hospital dan maklumkan bahawa ibu bapa dan penjaga terdedah kepada pesakit COVID-19 yang berada dalam tempoh kuarantin atau rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zuraizi berkata, secara umumnya pada peringkat awal gelombang pertama, kadar jangkitan dan keseriusan COVID-19 kepada kanak-kanak adalah rendah dan ini meredakan kebimbangan ibu bapa dan juga pakar mengenai jangkitan terhadap golongan itu.
Bagaimanapun, disebabkan trend terbaharu ini, Mohd Zuraizi sebagai pakar kanak-kanak menyarankan ibu bapa untuk tidak mengambil ringan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di luar rumah terutamanya pada waktu bekerja.
Ibu bapa katanya, perlu mematuhi penjarakan satu meter dan memastikan penggunaan pelitup muka terutamanya apabila berada di antara rakan sekerja, pelanggan atau jiran tetangga bagi mengurangkan risiko membawa virus ini balik ke rumah kepada anak-anak.
"Ibu bapa perlu memastikan mereka sentiasa mencuci tangan atau membersihkan diri sebelum bersentuhan atau ketika memeluk dan mencium anak-anak.
"Paling tidak, gunakan pembasmi nyahkuman sebelum mengambil anak-anak di taska atau sebelum berjumpa anak di rumah sebaik pulang dari kerja," katanya.
Mohd Zuraizi berkata vaksin COVID-19 terbukti mengurangkan sehingga 50 peratus pembawa di rongga hidung justeru ia dapat mengurangkan risiko membawa virus balik ke rumah kepada anak-anak sekalipun ibu bapa mempunyai kontak dengan rakan sekerja yang positif COVID-19.
"Ibu bapa yang sudah berada dalam senarai penerima vaksin COVID-19 tidak sepatutnya berdolak dalik atas kesibukan atau ketakutan disebabkan maklumat tidak tepat melalui media sosial atau aplikasi WhatsApp yang bertujuan menakut-nakutkan masyarakat.
"Bagi ibu bapa atau penjaga yang merantau dan berjauhan dari ibu bapa di kampung, tahanlah kehendak diri untuk pulang ke kampung walaupun sudah divaksin. Konsep vaksin adalah satu ikhtiar yang perlu difahami oleh kita semua.
"Jika sudah divaksin dan dijangkiti, anda sendiri mungkin tidak bergejala kerana tindak balas vaksin sudah berkesan tetapi ibu bapa yang sudah berusia atau anak-anak yang belum divaksin akan berisiko terdedah secara tidak langsung," katanya.
Sumber : Berita Harian