Buka Akaun Ambank secara Online melalui AmOnline
AmBank telah melancarkan ciri yang dinaik taraf bagi aplikasi perbankan secara online, AmOnline, bagi membolehkan pelanggan membuka akaun bank dengan pantas daripada peranti mudah alih, CTOS eKYC (Electronic Know-Your-Customer).
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AmBank, Datuk Iswaraan Suppiah berkata, melalui penyelesaian tersebut, pelanggan boleh membuka dan mengendalikan akaun bank, mendaftar untuk perbankan secara online dan mengakses pelbagai perkhidmatan perbankan daripada aplikasi itu.
“Aplikasi mudah alih AmOnline membolehkan pelanggan menguruskan pembayaran, menyimpan, melabur, meminjam, menginsurans dan mengakses pelbagai perkhidmatan kewangan seperti memohon kad kredit baharu dan menyekat penggunaan kad yang hilang dengan begitu mudah.
“Pandemik yang berlaku masa ini menyerlahkan betapa setiap keperluan perbankan boleh dilaksanakan secara online dan tanpa sentuhan.
“Kini, pelanggan baharu boleh mengorak langkah memulakan urusan perbankan mereka dengan AmBank, hanya dengan memuat turun aplikasi berkenaan tanpa perlu datang ke cawangan bank,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif CTOS Data Systems Sdn. Bhd., Eric Chin menerangkan, CTOS eKYC menawarkan penyelesaian yang boleh disesuaikan menurut keperluan, boleh diakses oleh pelbagai perniagaan, menggunakan platform mudah alih atau platform berasaskan web.
Aplikasi AmOnline menawarkan panduan in-app langkah demi langkah untuk melakukan eKYC kendiri dengan mengimbas MyKad dan mengambil swafoto (selfie) untuk pengecaman wajah dengan teknologi CTOS.
CTOS eKYC telah menarik minat daripada sektor kewangan tradisional kerana beberapa bank dan juga perniagaan yang bukan bercorak perbankan telah menyempurnakan integrasi penyelesaian sejak pelancarannya tahun lalu.
“Penerimagunaan CTOS eKYC dalam persekitaran perbankan secara berterusan untuk mewujudkan pengalaman pelanggan yang mulus akan memperkukuh lagi peranan utamanya dalam bidang teknologi kewangan,” ujarnya.
Sehingga kini, terdapat lebih 20 syarikat menggunakan CTOS eKYC.
Sumber : Kosmo!