RHB muncul bank pertama integrasi DuitNow QR

 

RHB Banking Group (RHB) menjadi bank pertama di Malaysia yang mengintegrasikan DuitNow QR melalui penyambungan Aplikasi Pengaturcaraan Pemuka (API).

Integrasi ini membolehkan transaksi DuitNow QR dilaksanakan menggunakan terminal jualan (POS) dan terminal jualan mudah alih (MPOS), sekali gus memberikan pengalaman pembayaran tanpa sentuh yang lancar antara peniaga dan pelanggan.

Ketua Perbankan Transaksi Kumpulan RHB, Chung Chee Kai, berkata semua pembayaran yang dibuat menggunakan DuitNow QR secara automatik disatukan dalam sistem pembayaran peniaga, termasuk yang dilakukan melalui sistem pembayaran terminal.

Beliau berkata, automasi proses ini membolehkan peniaga meningkatkan kecekapan digital serta dalam talian.

Peniaga, katanya, dapat mengumpulkan pembayaran segera tanpa mengubah proses pembayaran atau keperluan untuk mempamerkan kad QR di samping dapat melihat transaksi DuitNow QR melalui POS atau MPOS di aplikasi mudah alih RHB Reflex.

"Pandemik COVID-19 yang berlarutan sehingga kini selain keperluan penjarakan fizikal terus meningkatkan kepentingan dan faedah transaksi tanpa sentuhan. 

"Dengan mempermudahkan proses pembayaran melalui automasi, RHB menjadikannya lebih mudah dan senang bagi peniaga dan pelanggan menguruskan operasi jualan serta pembayaran.

"RHB DuitNow QR adalah alat yang sangat berguna dan mudah dalam menerima pembayaran dari semua bank dan e-dompet yang mengambil bahagian.

"Oleh itu, peniaga hanya perlu memaparkan RHB DuitNow QR untuk menerima pembayaran tanpa sentuhan," katanya dalam satu kenyataan.

Chee Kai berkata, bagi permulaan, perkhidmatan RHB DuitNow QR melalui penyambungan API tersedia di seluruh rangkaian kedai Costa Coffee Retail Stores, The Chicken Rice Shop, DubuYo, dan Sepiring.

Beliau berkata, RHB juga akan meneruskan kerjasama dengan penyedia terminal POS dan MPOS bagi tujuan integrasi API, bagi memastikan semua peniaga dapat menikmati kemudahan itu.

Katanya, urus niaga perniagaan tanpa sentuh RHB meningkat 10 ganda sejak tahun lalu sehingga akhir Mei 2021 kepada 120,000 transaksi.

"Dengan integrasi API ini, kami menjangkakan dapat menarik lebih 30,000 peniaga baharu sehingga akhir tahun ini," katanya.

DuitNow QR adalah standard kod QR negara oleh Payments Network Malaysia (PayNet) bagi mempromosikan dan mendorong penggunaan pembayaran digital.

Sumber : Berita Harian

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url