Final Piala Malaysia 2021 KL juara

 

Kuala Lumpur City (KL City) FC menyempurnakan 'kisah dongeng' mereka apabila mengejutkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 untuk merangkul Piala Malaysia ke-100 tahun pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan itu membolehkan skuad 'Warga Kota' mengucapkan selamat tinggal kepada penantian 32 tahun untuk memenangi piala keagungan itu yang juga gelaran keempat mereka selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Lebih manis, bukan setakat mengesahkan kejuaraan tanpa sebarang kekalahan dalam kempen Piala Malaysia malah mereka juga meraih tiket ke Piala AFC musim depan.

Keputusan itu turut menyaksikan JDT meneruskan 'badi' selaku juara bertahan Piala Malaysia apabila Pahang muncul juara bertahan terakhir yang berjaya mengekalkan trofi terbabit pada 2014.

Pada aksi terbabit, Bergson da Silva jelas membuatkan KL City tidak 'senang duduk' kerana sesuatu dirasakan mampu tercetus setiap kali pemain itu memegang bola dan berada dalam kotak penalti.

Hanya dalam 10 minit pertama, pemain dari Brazil itu berpeluang membuka jaringan namun gerakannya ditutup Giancarlo Gallifuoco pada minit ketiga sebelum rembatannya dinafikan palang gol pada minit kelapan.

Ketangkasan Kevin Mendoza pada babak pertama pasti mengecewakan JDT selepas penjaga gol dari Filipina itu cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya daripada JDT.

Bersambung babak kedua, KL City tidak lagi membenarkan JDT 'menari-nari' dengan bola apabila perlawanan kembali seimbang dan mereka berhasil merencana beberapa gerakan menerusi bahagian sayap.

Ketabahan KL City yang lebih banyak menyerap asakan akhirnya terbalas apabila hantaran lintang J Partiban disudahkan dengan penuh ketenangan oleh Zhafri Yahya pada minit ke-65 untuk gol pembukaan buat KL City.

Impian barisan pemain Harimau Selatan untuk kembali dari permainan ranap apabila Farizal Marlias sekali lagi tertewas pada minit ke-74, kali ini menerusi jaringan voli kapten KL City FC, Paulo Josue.

Mendoza juga memastikan malam KL City terus bergaya apabila beraksi seperti 'super hero' pada babak kedua untuk memastikan JDT pulang tanpa sebarang gol.

Sumber : Berita Harian

 

 

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url