Ajaran ‘mimpi’ akhir zaman lelaki Pakistan dikesan di Malaysia
Masihkah anda ingat mengenai seorang wanita dikenali sebagai Sittah Annur yang dikaitkan dengan usaha mengembangkan ajaran 'Perjalanan Mimpi Yang Terakhir' (PMYT) menerusi platform media sosial baru-baru ini?
Baru sahaja reda isu tersebut, kali ini sebuah kumpulan yang mengajak orang ramai untuk mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya mengenai akhir zaman telah mula bertapak di negara ini.
Kumpulan dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) itu berasal dari Indonesia dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah di dalam mimpinya.
Memetik laporan Sinar Harian, pihak mereka menerima e-mel dari seorang lelaki tidak dikenali yang mengajak orang ramai untuk lebih mendekati gerakan tersebut.
"Gaza sudah semakin terkenal di Indonesia dan telah mendapat sokongan dari berbagai pihak dan semakin maju untuk mengenalkan pemuda Pakistan ini dan mimpi-mimpinya yang semakin menjadi perhatian seluruh dunia kerana banyak yang telah menjadi kenyataan.
"Mereka kini menjalankan safari dakwah di Indonesia dan juga sedang berusaha mempersiapkan tanah uzlah di Pakistan untuk memudahkan orang ramai berhijrah," katanya dalam hantaran e-mel berkenaan.
Dalam hantaran e-mel itu turut disenaraikan beberapa pautan laman web bagi memudahkan orang ramai mengetahui maklumat lanjut mengenai Gaza, Muhammad Qasim serta safari dakwah yang telah dijalankan di Indonesia.
"Gaza telah pergi ke Pakistan pada 2021 untuk bertemu sendiri dengan Muhammad Qasim dan semakin bertambah yakin selepas bertemu dengannya.
"Mereka juga telah membuat sesi 'zoom live' sewaktu di sana dan menjemput orang ramai, wartawan dan agamawan untuk lebih mengenal pemuda ini," katanya.
Selain hantaran e-mel, gerakan itu juga telah menubuhkan kumpulan WhatsApp dan menambah nombor telefon secara rawak sebagai usaha melebarkan pemahamannya.
Setakat laporan ini ditulis, seramai 230 ahli telah menyertai kumpulan WhatsApp tersebut.
Pemerhatian terhadap laman web yang disenaraikan mendapati, gerakan itu menyampaikan mimpi yang dialami Muhammad Qasim secara berleluasa dengan menyatakan ar-Ru'yah ash-Shadaqiah sebagai khabar kenabian seperti yang disampaikan oleh Rasulullah.
Antara dakwaan mimpi lain yang dialami Muhammad Qasim adalah bertemu dengan Allah, bertemu Rasulullah sebanyak 300 kali namun tidak berani memandang baginda serta diberikan amanah oleh Allah untuk berkongsi mimpinya dengan masyarakat.
Selain itu turut didakwa lelaki itu bermimpi bertemu Dajjal beberapa kali selain dapat melihat Yakjuj dan Makjuj ketika dilepaskan di muka bumi.
Sumber dari mSTAR