Garam berlebihan punca tiga juta kematian dunia
Kira-kira 11 juta kematian di seluruh dunia dikaitkan dengan diet tidak sihat, dengan tiga juta daripadanya berpunca daripada pengambilan garam yang tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengambilan garam berlebihan meningkatkan tekanan darah dan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular, strok, kanser dan buah pinggang yang menjadi punca utama kematian penyakit tidak berjangkit (NCD) di seluruh dunia.
Berikutan itu, katanya, antara cara berkesan mengurangkan pengambilan garam adalah melalui reformulasi produk bagi menurunkan kandungan garam dalam makanan.
"Pihak industri makanan perlu mematuhi Akta Makanan 1983 pindaan 2020 yang mewajibkan pelabelan kandungan garam pada produk makanan dan minuman," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Minggu Kesedaran Garam Sedunia yang disambut pada 14 hingga 20 Mac bertemakan 'Tak Masin Tu Ok!'.
Beliau berkata, pelabelan pemakanan dapat membantu pengguna memahami kandungan nutrisi produk makanan atau minuman, sekali gus menggalakkan orang ramai membeli makanan lebih sihat dan sesuai dengan keperluan.
Dr Noor Hisham menyarankan rakyat Malaysia mengubah amalan pemakanan termasuk mengurangkan pengambilan garam seharian.
Katanya, pengambilan garam perlu dihadkan tidak melebihi satu sudu teh sehari, termasuk garam tersembunyi bagi mengurangkan risiko hipertensi, sakit jantung, strok, kerosakan buah pinggang dan kanser.
Beliau berkata, garam juga diperoleh dalam sumber lain seperti Sodium Nitrate, Sodium Bicarbonate, Monosodium Glutamate dan lain-lain.
Dr Noor Hisham berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk mengehadkan pengambilan makanan diproses seperti mi segera, nuget ayam, burger, sosej, makanan diawet seperti ikan masin, telur masin dan jeruk; snek tinggi garam seperti kacang bergaram, kerepek dan keropok dan makanan lain yang menggunakan perasa tambahan.
Beliau menggalakkan orang ramai mengutamakan perisa semula jadi menggunakan bawang putih, bawang besar, kunyit, halia, serai, daun bawang, daun ketumbar, rempah-ratus dan limau nipis bagi meningkatkan rasa hidangan makanan.
Orang ramai juga perlu mengurangkan penggunaan garam, sos dan penambah perasa seperti monosodium glutamate (MSG), pes sedia guna, kiub dan serbuk perasa dalam masakan.
Sumber dari Berita Harian