Onn Hafiz dilantik Menteri Besar Johor ke-19

 

Cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi sah dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-19.

Beliau menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Menghadap Istana Bukit Serene, di sini, sebelum mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, kira-kira jam 3 petang.

Istiadat berkenaan turut dihadiri Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, Menteri Besar ke-18 yang mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu. Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020 sehinggalah DUN dibubarkan, Januari lalu.

Onn Hafiz adalah Naib Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, yang memenangi kerusi DUN Machap pada PRN lalu, dengan majoriti 6,543 undi. Berumur 43 tahun, lulusan jurusan perakaunan dari University of Hertfordshire ini juga adalah anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussien yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong.

Onn Hafiz sebelum ini EXCO Johor, memegang portfolio Pelancongan, Belia dan Sukan, selain aktif dalam advokasi orang muda termasuk menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Southern Volunteers yang ditubuhkan hasil visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Beliau menjadi pemimpin generasi kelima keluarga Menteri Besar Johor dalam era moden yang pertama, Jaafar Haji Muhammad yang memimpin negeri ini dari 1886 hingga 1919.

Jaafar adalah seorang daripada yang merangka Undang-Undang Tubuh Negeri 1895, perlembagaan bertulis tertua di negara ini. Undang-Undang Tubuh Negeri 1895 menjadi asas kepada semua undang-undang tubuh di negeri-negeri lain dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan pada 1948.

Moyang Onn Hafiz adalah Menteri Besar Johor yang ketujuh dan juga mengasaskan parti UMNO, manakala dua abang Onn Jaafar juga pernah menjawat jawatan Menteri Besar, masing-masing ketiga dan keempat, iaitu Abdullah yang memimpin negeri dari 1923 hingga 1928 dan Mustapha dari 1928 hingga 1931.

Datuknya pula, Tun Hussein Onn adalah Perdana Menteri Malaysia ketiga serta pernah menjawat jawatan Menteri Kewangan, Pendidikan serta Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sumber dari Berita Harian

Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url